Malaysia melengkapkan perlawanan ketiga dan terakhir peringkat kumpulan Piala Dunia Kriket T20 Wanita Bawah 19 Tahun (B-19) tanpa sebarang kemenangan selepas tewas kepada pasukan West Indies di Bayuemas Oval, di Klang, hari ini.
Sejurus tamat perlawanan dengan kekalahan 53 larian, enam pemain skuad kebangsaan bergegas pulang untuk menduduki kertas peperiksaan Sains Sukan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Skuad negara menamatkan saingan di tangga tercorot Kumpulan A selepas turut mengalami kekalahan dalam dua perlawanan sebelum ini menentang Sri Lanka dan juara bertahan, India.
Malaysia dijadualkan bertemu Nepal, yang menduduki tempat keempat dalam Kumpulan D, dalam penentuan kedudukan ke-13 hingga 16 di Oval Akademi Kriket Johor esok.
Sementara itu, West Indies mara ke pusingan Super Six untuk merebut tempat di peringkat separuh akhir.
Terdahulu, West Indies mencatat kemenangan sulung mereka dalam kejohanan ini dengan meraih 112 larian selepas kehilangan tujuh wiket, manakala Malaysia hanya mencatatkan 59 larian sebelum dibolosi dalam 18.0 overs. Skor tersebut merupakan pencapaian tertinggi Malaysia dalam kejohanan ini.
Kapten pasukan kebangsaan Nur Dania Syuhada berkata pasukan Malaysia berjaya memberikan saingan dengan mengekang West Indies daripada mencatat lebih 120 larian, tetapi mereka goyah dalam pukulan balas.
"Saya rasa kita ada peluang untuk menang, tetapi sedikit kesilapan dan salah faham menyebabkan kita mula kehilangan wiket. Mungkin kerana pemain agak gementar, ini kali pertama mereka beraksi di kejohanan besar seperti Piala Dunia ini," katanya kepada Bernama.
"Kami berharap dapat mempamerkan aksi lebih baik ketika menentang Nepal nanti supaya kami tidak menamatkan kempen di kedudukan tercorot,” katanya kepada Bernama.
Tiga pasukan teratas daripada setiap empat kumpulan akan mara ke pusingan Super Six.
Di pusingan ini, 12 pasukan akan bersaing untuk merebut tempat di separuh akhir.
Pasukan yang mara ke pusingan ini akan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan layak ke separuh akhir.
- Bernama