Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hari ini enggan menjawab soalan mengenai perhimpunan antirasuah yang bakal berlangsung.
"Tidak, saya rasa sebagai satu disiplin, biarlah menteri yang berkaitan menjawab," katanya kepada media selepas sesi libat urus dengan industri perkhidmatan berhubung Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Dia dipercayai merujuk kepada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, yang baru-baru ini menegaskan penganjur perhimpunan itu - Sekretariat Rakyat Benci Rasuah - mesti mendapatkan kebenaran daripada pemilik lokasi untuk mengadakan tunjuk perasaan tersebut.
Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menerima kritikan hebat kerana menyekat perhimpunan antirasuah di Kuala Lumpur.
Untuk rekod, ramai pemimpin kerajaan hari ini, termasuk Anwar, Rafizi dan Saifuddin pernah terlibat demonstrasi jalanan ketika PH menjadi pembangkang.
Perhimpunan itu dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini (25 Jan) di luar pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
Saifuddin berkata sekretariat tersebut perlu mendapatkan kebenaran pemilik pusat beli-belah Sogo dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk Dataran Merdeka.
Namun, perkara ini disanggah oleh peguam New Sin Yew, yang menyatakan undang-undang jelas menyebut Dataran Merdeka kawasan awam yang hanya diselia oleh DBKL.
Arahan polis dan sokongan menteri lain
Polis turut memaklumkan notis yang dikemukakan penganjur perhimpunan tidak lengkap.
Selain Saifuddin, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut menyokong pihak berkuasa dalam isu perhimpunan itu.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda PKR Adam Adli yang juga timbalan menteri belia dan sukan hari ini berkata kerajaan tidak perlu khuatir dengan suara mahasiswa.
Tunjuk perasaan ini susulan perhimpunan malam ambang tahun baru anjuran mahasiswa di Sabah, yang membantah ahli politik negeri itu yang didakwa terbabit skandal rasuah.
Sebelum ini Malaysiakini mendedahkan perbincangan beberapa Adun Sabah yang didakwa membabitkan rasuah untuk mendapatkan lesen teroka perlombongan, yang turut mengaitkan Ketua Menteri Hajiji Noor.
Hajiji dan mereka yang dikaitkan dengan skandal itu menafikan sebarang salah laku, mendakwa ia konspirasi untuk menggugat kestabilan kerajaan Sabah menjelang pilihan raya negeri.
Semalam, sekretariat perhimpunan antirasuah bertegas untuk meneruskan demonstrasi yang dijadualkan pada 25 Januari meskipun mendapat amaran daripada pihak polis.
“Demonstrasi ini akan tetap diteruskan. Kami menuntut pihak berkuasa menghormati hak rakyat, bukan mengkhianati mereka.
"Pihak polis sepatutnya memudahcara perhimpunan awam, bukan menyekatnya. Jangan menjadi seperti sang pegar, yang kita berharap kepadanya, namun dia juga lah yang memakan padi.
"Rakyat tidak akan tunduk kepada intimidasi dan gelombang kebangkitan ini akan terus menggugat kezaliman kuasa,” tegas kumpulan mahasiswa itu.