Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Siapa saja boleh sarung jersi Harimau Malaya, buktikan keupayaan’
Diterbitkan:  Jan 23, 2025 6:45 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

Ketua jurulatih Skuad Harimau Malaya Peter Cklamovski mengamalkan prinsip pintu terbuka buat semua pemain, sama ada pemain tempatan mahupun berdarah warisan bagi menyarung jersi pasukan itu.

Beliau yang memulakan tugas secara rasmi bermula minggu ini berkata ini sekali gus memberi ruang sama rata buat semua pemain, untuk sama-sama membuktikan keupayaan mereka di bawah kendaliannya.

“Semua pemain akan ada peluang untuk bersama skuad kebangsaan, tidak kira sebagus mana anda atau usia anda, tetapi jika anda boleh buktikan keupayaan, anda akan berhak (untuk dipanggil).

“Saya mahu sesiapa sahaja yang dipanggil mampu untuk memberikan seluruh hati mereka bagi memastikan penyokong gembira dengan apa yang akan mereka saksikan (dalam padang),” katanya ditemui pada pelancaran jersi baharu Harimau Malaya di Petaling Jaya hari ini.

Jurulatih dari Australia itu berkata skuad utama kebangsaan dalam masa sama telah mempunyai asas bola sepak yang kukuh, namun masih terdapat beberapa kelemahan perlu diperbaiki sebelum mengharungi cabaran pada aksi kelayakan Piala Asia 2027, Mac ini.

Bagi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang bakal berlangsung dari 25 Mac ini hingga 31 Mac tahun depan, Malaysia diundi dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Nepal dan Laos.

Hanya juara kumpulan sahaja yang akan layak ke kejohanan bola sepak terunggul Asia itu di Arab Saudi dari 7 Jan hingga 5 Feb 2027.

Cklamovski yang baharu sahaja tiba di tanah air semalam, dalam masa sama mengakui visi Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim antara salah satu faktor utama beliau memilih menyertai revolusi baharu Harimau Malaya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS