BICARA 1MDB | Bekas perdana menteri Najib Razak menjelaskan dia membawa masuk "individu lebih tegas" Johari Abdul Gani untuk menggantikan Ahmad Husni Hanadzlah sebagai menteri kewangan pada tahun 2016.
Tidak ada perkara yang tidak wajar dalam keputusan menggantikan Husni, kata bekas menteri kewangan itu memberitahu Mahkamah Tinggi di Putrajaya hari ini
Sebelum ini, Husni mendakwa telah diberi amaran oleh tertuduh agar tidak mencampuri urusan 1MDB.
Najib berkata keputusan untuk memindahkan Husni dibuat kerana dia sudah memikirkan Johari sebagai pengganti. Johari tokoh korporat dengan pengalaman dalam penstrukturan semula dan pemulihan syarikat.
Najib menjelaskan disebabkan masalah berkaitan 1MDB, dia melihat Johari sebagai pilihan yang logik kerana pengalaman dan kepakarannya boleh memainkan peranan dalam rasionalisasi 1MDB.
Semasa pemeriksaan semula oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, Najib menolak dakwaan pendakwaan dia cuba meminggirkan Husni ('cold-storage') susulan dakwaan pertanyaan Husni mengenai 1MDB.
Najib: Saya mahu dia (Husni) memainkan peranan dalam portfolio lain.
Shafee: Apa yang Johari Gani buat sekarang?
Najib: Selain menjadi Menteri Perladangan dan Komoditi, dia juga terus mengetuai pasukan petugas pemulihan hutang (1MDB).
Shafee: Masih berkaitan dengan 1MDB?
Najib: Ya, kepakarannya diiktiraf oleh kerajaan semasa.
Shafee: Adakah Johari Gani seorang yang lebih mudah dikawal berbanding Husni?
Najib: Saya rasa anda tahu karakter sebenar Johari, semua orang akan mengatakan Johari adalah seorang individu yang lebih sukar untuk dipengaruhi (tougher nut to crack).
Tertuduh memberikan keterangan dalam perbicaraan hari ini yang melibatkan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.27 bilion berkaitan 1MDB.
Pada 30 Oktober, mahkamah mengarahkan Najib membela diri atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan dana berjumlah RM2.27 bilion daripada dana 1MDB.
Hakim perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah, memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berhubung syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) itu.
Hakim itu memutuskan bahawa Najib perlu menjawab pertuduhan berdasarkan kekuatan keterangan daripada 50 saksi semasa peringkat pendakwaan, yang berlangsung selama enam tahun sejak perbicaraan bermula pada tahun 2019. Najib pertama kali didakwa pada tahun 2018.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu mula memberi keterangan sejak 2 Disember tahun lalu dan telah menghabiskan 21 hari memberikan keterangan secara lisan.
Najib disoal balas oleh pihak pendakwaan selama 10 hari, dengan sesi soal balas itu selesai pada tengah hari tadi.
Pasukan pembelaan Najib yang diketuai oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah dijangka memulakan sesi pemeriksaan balas ke atas tertuduh esok.
Pasukan peguam sebelum ini juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka menjangkakan akan memanggil 20 saksi lain untuk memberi keterangan bagi pihak Najib.
Sepanjang perbicaraan, Najib menegaskan dia tidak tahu atau terlibat dalam salah laku dalam 1MDB, dan semua penyelewengan dalam syarikat itu didalangi oleh ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) dan pengurusannya.
Tertuduh juga menegaskan berbilion ringgit yang masuk ke akaun banknya adalah derma daripada Raja Arab Saudi berikutan pertemuannya dengan Raja Abdullah pada 2010.