Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis Sabah teliti dakwaan majikan pukul pekerja dalam video tular
Diterbitkan:  Jan 23, 2025 5:17 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Polis sedang meneliti klip video yang tular di Facebook menunjukkan seorang lelaki menggunakan kayu memukul individu lain, yang dikatakan pekerjanya.

Kejadian itu dikatakan berlaku di Sabah, tetapi perkara ini masih belum dapat disahkan.

"Saya akan semak perkara ini," kata Pesuruhjaya Polis Sabah Jauteh Dikun dalam mesej teks ketika ditanya sama ada agensi itu telah menerima sebarang laporan mengenai kejadian berkenaan.

Menurut catatan Facebook Reels dimuat naik Facebook Page bernama Boss Kucing, klip video pendek itu menunjukkan mangsa sedang duduk di atas lantai di sebuah kawasan yang kelihatan seperti bengkel, sambil seorang lelaki memarahinya.

Lelaki itu kemudian mula memukul mangsa menggunakan kayu pada kedua-dua kaki dan pahanya, manakala seorang lagi lelaki lain menyaksikan kejadian itu.

Keterangan pada klip video itu turut memetik nama seorang ahli perniagaan terkenal Sabah, yang didakwa sebagai orang yang memukul pekerjanya.

Malaysiakini telah menghubungi ahli perniagaan itu untuk memeriksa kesahihan dakwaan dan mendapatkan ulasannya, namun dia enggan mengulas.

"Saya tidak berminat untuk mengulas. Ini 'hal rumah tangga'," katanya.

Sementara itu, isu itu turut menarik perhatian Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin, yang menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Menurut Bung, dia tidak pasti mengenai identiti individu dalam klip video itu kerana kualitinya yang rendah, tetapi menegaskan tiada sesiapa pun harus dibenarkan melayan manusia lain seperti yang berlaku dalam kejadian itu.

“Siapa pun dalam video itu, saya tidak mahu menuduh sesiapa kerana tiada pengesahan, tetapi polis dengan mudah dapat mengumpul bukti jika benar-benar menyiasat perkara ini secara terperinci.

"Tiada majikan patut mendera pekerja dalam apa cara sekalipun. Tiada siapa pun patut mendera atau mencederakan orang lain kerana ia melanggar undang-undang.

“Tindakan harus diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam hal ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS