KATA ADUN | Donald Trump dijangka lebih terarah kepada Timur Tengah, khususnya dokongan ke atas Zionis "Israel," memperluaskan "Abraham Accord" ke seluruh Timur Tengah dan serangan terhadap Iran.
Saat ini semuanya sedang berjalan lancar di belakang tab
Donald Trump secara rasminya telah mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-47.
Dalam ucapan sulungnya, beliau menggariskan polisinya baik dalam mahupun luar negara, yang mengutamakan Amerika Syarikat dan kepentingan strategiknya, dengan agenda utamanya ialah “America First.”
Pada pandangan saya, secara ringkasnya, Donald Trump akan memberi keutamaan kepada empat perkara asas dalam usaha mengukuhkan kembali Amerika Syarikat dari sudut politik, ekonomi, dan kepentingan strategiknya:
1. Utamakan ekonomi berbanding perang
Trump meletakkan keutamaan pada pengukuhan ekonomi Amerika Syarikat bagi menghadapi saingan China, yang pada bila-bila masa sahaja mampu mengatasi Amerika Syarikat sebagai kuasa utama ekonomi dunia.
Bagi menghadapi saingan China, polisi mengekang kebangkitan ekonomi China pada zaman pentadbiran Joe Biden bakal diteruskan oleh Donald Trump tetapi dijangka akan lebih ketat dan keras. Pentadbiran Donald Trump dijangka mengenakan cukai lebih tinggi ke atas import dari China, memperketat sekatan ekonomi, termasuk menghalang kemajuan sektor semikonduktor China.
Perang antara penyebab utama peningkatan mendadak hutang Amerika Syarikat, yang kini berjumlah lebih AS$36.1 trilion.
Dengan keadaan ekonomi Amerika Syarikat dan dunia yang tidak menentu, termasuk kebangkitan dan ancaman BRICS, itulah antara sebab Donald Trump berusaha menghentikan perang di Ukraine dan Gaza, dalam usaha untuk menumpukan perhatian kepada pemulihan ekonomi dan sektor perindustrian Amerika Syarikat.
2. Fokus politik dalaman berbanding luaran
Pada hari pertama sebagai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah menandatangani hampir 100 “perintah eksekutif” dan jika diteliti, kebanyakannya selaras dengan agenda “America First,” mengutamakan kepentingan Amerika Syarikat khususnya dalam negara.
Ketika tempoh berkempen pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat, fokus Donald Trump khususnya terhadap isu dalam negara telah memberikan kelebihan dan memikat pengundi berbanding Joe Biden.
Dalam dua tahun pertama pentadbirannya, Donald Trump dijangka memberikan keutamaan kepada memperkukuhkan kedudukan politik dalaman dengan polisi seperti menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati), memperkukuhkan ekonomi dan sektor perindustrian, menghentikan peperangan, meneruskan agenda anti-China, serta menarik diri daripada WHO dan “Perjanjian Paris” (perubahan iklim), yang mendapat sokongan sebahagian besar pengundi Amerika Syarikat.
3. Redakan ketegangan dengan Rusia dan China
Donald Trump dijangka meneruskan strategi ketika kali pertama menjadi Presiden Amerika Syarikat, iaitu menghalang Rusia dan China daripada menjadi sekutu strategik, kerana beliau menyedari bahawa jika berlaku, ia akan mengundang malapetaka buat Amerika Syarikat.
Disebabkan itulah, Donald Trump mengkritik keras Joe Biden kerana melancarkan perang proksi ke atas Rusia di Ukraine, yang menyebabkan Rusia beralih arah dan rapat dengan China.
Benar jangkaan Donald Trump dan disebabkan itu maka lahirlah kesatuan ekonomi Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan (BRICS), yang kini menjadi ancaman besar buat Amerika Syarikat dan Barat, khususnya dari sudut ekonomi.
Ia juga secara tidak langsung mengakibatkan kebangkitan penentangan terhadap imperialisme dan hegemoni Barat, peningkatan mendadak sektor industri ketenteraan khususnya dari Rusia, China, dan Iran, serta merendahkan sokongan masyarakat antarabangsa terhadap Barat.
Untuk meredakan keadaan, Donald Trump dijangka berusaha keras menghentikan perang di Ukraine dalam tempoh dua bulan pertama pentadbirannya, untuk memulihkan hubungan dengan Rusia, khususnya Vladimir Putin.
Pada masa yang sama, pentadbiran Donald Trump dijangka cuba berkompromi dengan China untuk meredakan ketegangan, khususnya dalam sektor ekonomi dan geopolitik. Jika berjaya, Donald Trump dijangka akan meneruskan agenda asalnya, iaitu untuk menjarakkan serta meretakkan hubungan antara China dan Rusia.
4. Dasar luar hanya fokus Zionis "Israel" dan serang Iran
Dasar luar Amerika Syarikat pada zaman pentadbiran Joe Biden telah membawa malapetaka besar buat negara itu. Dijangka, Donald Trump akan cuba memperbaikinya untuk memulihkan imej Amerika Syarikat di mata dunia.
Menghentikan peperangan antara agenda utama Donald Trump. Ketika ini, beliau telah “berjaya” mendesak Zionis "Israel" menerima gencatan senjata di Gaza dan sedang berusaha menghentikan perang di Ukraine.
Beliau dijangka menghentikan pengembangan NATO di Eropah Timur dalam usaha berkompromi dengan Rusia untuk menghentikan perang di Ukraine. Kesatuan Eropah dan NATO dijangka bakal berhadapan dengan masalah besar akibat perubahan dasar luar Amerika Syarikat.
Donald Trump juga dijangka berkompromi dengan China, khususnya di Asia Timur dan Taiwan, bagi mengelak konflik lebih besar dalam masa terdekat.
Berikutan malapetaka dasar luar Amerika Syarikat pada zaman pentadbiran Joe Biden, tumpuan Donald Trump dijangka lebih terarah kepada Timur Tengah, khususnya dokongan ke atas Zionis "Israel," memperluaskan "Abraham Accord" ke seluruh Timur Tengah dan serangan terhadap Iran.
Saat ini semuanya sedang berjalan lancar di belakang tabir.
MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI Adun Batu Buruk dan pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.