Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibu bapa Zayn Rayyan mohon batal tuduhan abai anak
Diterbitkan:  Jan 23, 2025 4:41 PM
Dikemaskini: 8:41 AM

Ibu bapa kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk membatalkan pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka, untuk dilepas dan dibebaskan daripada dakwaan mengabaikan kanak-kanak itu.

Pasangan tersebut, Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan Ismanira Abdul Manaf, 30, melalui firma guaman Tetuan Wong & Co, memfailkan notis usul pada 21 Januari lalu, dengan Pendakwa Raya dinamakan sebagai responden.

Permohonan itu turut meminta prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang dijadualkan awal Februari ini ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan tersebut.

Dalam afidavit sokongan, pasangan ini mendakwa pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka tidak mendedahkan butiran kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001, sekali gus menyukarkan mereka untuk menyediakan pembelaan.

“Kami (Zaim Ikhwan dan Ismanira) membaca pertuduhan itu dan tidak menemui sebarang butiran mengenai kesalahan yang didakwa, kami tidak tahu bagaimana untuk mempertahankan diri berdasarkan pertuduhan,” menurut afidavit pihak pembelaan, lapor media tempatan.

Pasangan itu juga berhujah pertuduhan tersebut melanggar Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah, serta hak untuk perbicaraan adil yang dijamin oleh Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Kami benar-benar percaya pertuduhan itu harus diketepikan dan dibatalkan kerana kekurangan butiran yang serius," kata mereka lagi.

Peguam pasangan itu, Haresh Mahadevan, mengesahkan notis usul telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui e-mel.

Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen hari ini, dia memohon supaya perbicaraan ditangguhkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, mengesahkan penerimaan permohonan tersebut dan tidak mengemukakan bantahan.

Hakim Dr Syahliza Warnoh menetapkan 28 Januari ini untuk pengurusan kes bagi mengemas kini status permohonan notis usul itu.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan, 6, dengan cara yang berkemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal. Kejadian itu didakwa berlaku di sekitar Jalan PJU Damansara Damai antara 5 Disember hingga 6 Disember 2023.

Mayat Zayn Rayyan ditemui terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kes ini terus mendapat perhatian umum, dengan persoalan mengenai keadilan dan perlindungan terhadap hak kanak-kanak menjadi fokus utama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS