mk-logo
Berita
Cadangan Risda pembeli tunggal getah pekebun dibentang ke kabinet
Diterbitkan:  Jan 23, 2025 4:35 PM
Dikemaskini: 9:49 AM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini mengumumkan bahawa beliau akan membentangkan cadangan kepada mesyuarat jemaah menteri dalam tempoh dua bulan untuk mendapatkan persetujuan terhadap inisiatif menjadikan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) sebagai pembeli tunggal getah pekebun kecil.

Beliau berkata ia merupakan saranan Pengerusi Risda Manndzri Nasib bagi menjadikan Risda sebagai pembeli tunggal getah untuk pekebun kecil.

“Ini merupakan satu ‘game changer’ dan satu cadangan baru dan saya telah meminta Ketua Pengarah dan juga Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk menyediakan kertas kerja (untuk dibentangkan kepada mesyuarat) Jemaah Menteri dalam tempoh dua bulan ini untuk mendapat persetujuan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Konvensyen Pegawai Lapangan Risda Tahun 2025 di Bangi hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Risda Manndzri Nasib.

Beliau berkata langkah baru ini adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan untuk membela nasib pekebun kecil yang bergantung kepada harga lantai seperti yang diumumkan perdana menteri dalam ucapan belanjawan setiap tahun.

Terdahulu di dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata sehingga hari ini, lebih 500,000 pekebun kecil telah menjadi wira industri ini dengan menyumbang 89 peratus daripada keseluruhan pengeluaran getah negara, jauh mengatasi sektor estet yang hanya menyumbang 11 peratus.

Beliau turut berkata keperluan meningkatkan harga getah dan pengeluaran lateks, yang kini memerlukan Malaysia mengimport lateks bernilai RM6 bilion setahun walaupun negara merupakan pengeluar utama.

“Mungkin kolaborasi juga boleh dilakukan untuk memastikan peningkatan harga getah dan pengeluaran lateks dapat dipertingkatkan. Kita akan menentukan pasaran dan mencipta produk-produk berasaskan getah asli dengan berkolaborasi bersama pemain industri bagi mengelakkan penggunaan getah tiruan,” katanya.

Beliau menekankan keperluan untuk membangunkan komuniti pekebun kecil seramai 2.7 juta orang, yang disifatkannya bukan sekadar pewaris tanah tetapi pewaris industri.

“Mereka perlu digilap melalui latihan kemahiran, pengurusan moden, TVET dan pendidikan ekonomi. Matlamatnya adalah untuk mencipta generasi pekebun kecil yang berwawasan dan berdaya saing,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid memuji pencapaian Risda Holdings yang mencatat keuntungan sebanyak RM70 juta pada tahun lalu, namun beliau menggesa agensi tersebut untuk terus melangkah lebih jauh.

“Kita perlu melipatgandakan keupayaan perniagaan, mencari peluang baharu, dan menembusi pasaran yang lebih luas untuk memastikan kejayaan berterusan,” katanya.

Bagi kluster usahawan, beliau mahu lebih ramai usahawan dilahirkan dan pekebun kecil diperhebat, serta menggesa Risda memperkukuhkan program bimbingan dan memperluas akses pembiayaan supaya pekebun kecil dapat lebih berdaya saing dalam pelbagai sektor.

“Dalam era digitalisasi, perubahan radikal bukan pilihan, tetapi keperluan. Kita mesti mengadaptasi teknologi untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan, dan daya responsif terhadap penyampaian perkhidmatan.

“Atas dasar ini, saya telah mengarahkan KKDW, agensi, dan LKW (Lembaga Kemajuan Wilayah) untuk memperkukuhkan dashboard, bank data, dan digital mapping. Dengan ini, setiap projek pembangunan boleh dinilai secara real-time, memastikan setiap keputusan berdasarkan data yang tepat,” katanya.

Konvensyen Pegawai Lapangan Risda 2025 yang diadakan di Bangi, Selangor pada 21 hingga 24 Jan menjadi medan menghimpunkan seramai 1,000 pegawai lapangan dari seluruh negara, terutamanya pegawai lapangan yang melaksanakan sistem penyampaian perkhidmatan kepada warga pekebun kecil getah di bawah seliaan Risda.

Inisiatif proaktif Risda yang bermula awal tahun ini bertemakan "Memperkasa Pegawai Lapangan Risda Untuk Meningkatkan Kesejahteraan Sosioekonomi Pekebun Kecil' dilihat selari dengan hasrat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui Aspirasi Desa Madani.

Konvensyen ini menumpukan konsep reskilling dan upskilling pegawai lapangan Risda melalui wacana oleh Ketua Setiausaha KKDW, amanat Ketua Pengarah Risda, forum perkongsian pengurusan dan pembangunan lapangan, perbincangan kumpulan serta sidang plenari yang bakal diterjemahkan melalui petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan bagi mendepani cabaran dalam membangunkan komuniti pekebun kecil getah.

Melalui Belanjawan Madani 2025, Risda telah menerima peruntukan sebanyak RM440.22 juta untuk melaksanakan program pembangunan. Peruntukan ini mencerminkan kepercayaan dan sokongan pihak kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat desa, khususnya komuniti pekebun kecil getah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS