Bekas perdana menteri Najib Razak berhujah bahawa anak tirinya Riza Aziz membuat filem blockbuster Hollywood dengan 'wang bersih'.
Bekas menteri kewangan itu memberitahu Mahkamah Tinggi demikian hari ini bagi menafikan dakwaan pihak pendakwaan bahawa pembuat filem Hollywood itu menghasilkan filem dengan dana yang menyalahi undang-undang.
Semasa perbicaraan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram RM2.27 bilion terhadapnya, Najib menafikan dakwaan bahawa dia cuba mendapatkan bantuan kerabat raja Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk membuat perjanjian pinjaman palsu bagi membuat wang yang Riza terima nampak sah.
Najib menjawab semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah yang merujuk kepada pertikaian pihak pendakwaan pada masa lalu bahawa perjanjian pinjaman palsu itu adalah untuk menutup skim pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Riza.
“Wang yang dipindahkan kepadanya adalah atas dasar ia datang dari Aabar (Pelaburan PSJ), begitu yang disampaikan kepadanya adalah pinjaman dan dia menerimanya atas dasar itu.
"Jika dia tahu sebaliknya, dia tidak akan menerimanya. Ia adalah wang bersih daripada Aabar, filem dibuat, filem itu menghasilkan wang, dan dia membayar balik (pinjaman).
“Sekiranya ini sangkaan (yang pihak pendakwaan tuduh berhubung penjelasan Najib), itu salah kerana dia membayar balik pinjaman, tindakannya menunjukkan dia percaya ia adalah pinjaman dan ia adalah wang bersih.
"Perbualan saya dengan Putera Mahkota adalah untuk mendokumentasikannya (dakwaan pinjaman), tindakannya (Riza) membayar balik, saya boleh mendapatkan kembali angka itu. Dia membayar balik. Jumlah yang agak besar yang dia bayar balik," kata Najib di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah.
Dalam perbicaraan 1MDB, pihak pendakwaan merujuk kepada rakaman audio yang didakwa menunjukkan Najib dalam perbualan dengan kerabat raja Timur Tengah yang dikaitkan dengan Riza.
Sebelum ini Riza didakwa di mahkamah Malaysia atas dakwaan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta dana 1MDB, namun dia telah diberi pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) pada Mei 2020.
Red Granite Pictures Incorporated menghasilkan filem The Wolf of Wall Street yang terbit pada 2013. Pelakon Hollywood Leonardo DiCaprio memainkan watak utama dalam filem itu.
Riza kini sedang melawan tindakan mahkamah sivil yang berasingan oleh 1MDB berhubung dakwaan yang sama.
Pada 30 Okt, mahkamah jenayah memerintahkan Najib membela diri atas empat salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion daripada 1MDB.
Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie (boleh bertanggungjawab) terhadap Najib kerana kekuatan kira-kira 50 keterangan saksi.
Bekas perdana menteri itu pertama kali didakwa pada 2018 dan perbicaraan bermula pada 2019. Peringkat pendakwaan perbicaraan itu berlangsung selama enam tahun.
Sejak keputusan prima facie, Najib telah memberi keterangan sejak 2 Dis tahun lepas untuk membela diri terhadap pertuduhan itu.
Dia disoal oleh pihak pendakwaan selama 10 hari, dengan pendakwa raya telah menyelesaikan proses pemeriksaan utama dua hari lalu.
Sepanjang perbicaraan, Najib menegaskan dia tidak mempunyai pengetahuan atau penglibatan dalam salah laku di 1MDB, dan semua penyelewengan adalah semata-mata didalangi oleh ahli perniagaan buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan pihak pengurusa syarikat itu.
Tertuduh juga bergantung kepada pembelaan bahawa dia percaya bahawa wang yang masuk ke akaunnya adalah derma politik dari Arab Saudi, seperti yang dijanjikan oleh Almarhum Raja Abdullah semasa mesyuarat 2010.