SD Guthrie Berhad mempertahankan notis pengusiran yang dikeluarkan terhadap penternak-penternak membabitkan ladang-ladangnya di seluruh Selangor.
Syarikat perladangan berkaitan kerajaan (GLC) itu turut menafikan dakwaan notis itu mengambil kesempatan atas kenyataan media Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Rizam Ismail mengenai isu haiwan ternakan di Sabak Bernam.
"Notis yang dikeluarkan SD Guthrie tersebut memohon penternak lembu mengeluarkan ternakan mereka yang menceroboh masuk ke premis SD Guthrie selewat-lewatnya pada 31 Jan bertujuan untuk mengelakkan kemalangan, kerosakan harta benda, dan ancaman kepada keselamatan pekerja, keluarga mereka, serta komuniti sekitar.
"Ia dikeluarkan susulan kemalangan maut yang melibatkan penunggang motosikal dan lembu berkeliaran pada 23 Oktober lalu dan selepas beberapa siri perbincangan bersama exco (Rizam) berkenaan langkah-langkah yang sewajarnya diambil oleh pihak SD Guthrie," kata syarikat itu pada satu kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan lebih 50 penternak dari ladang-ladang di Selangor berhimpun untuk menyerahkan memorandum menunutut Menteri Besar Amirudin Shari campur tangan susulan notis pengusiran diterima mereka.
Mereka menuntut kerajaan negeri untuk membatalkan notis pengusiran dikeluarkan SD Guthrie yang memaksa mereka mengeluarkan haiwan ternakan dari kawasan ladang syarikat itu.
Penyelaras Gabungan Penternak Marhaen Nasional S Tinagaran mendakwa notis pengusiran itu muncul selepas kenyataan Rizam pada bulan lalu berhubung aktiviti penternakan lembu haram di ladang SD Guthrie, Sabak Bernam.
Katanya lebih 173 orang penternak telah menerima notis pengusiran ternakan mereka.
Bagaimanapun SD Guthrie menjelaskan tidak timbul isu mengambil kesempatan atas kenyataan exco kerana perkara pokok melibatkan keselamatan premis dan masyarakat.
Malah kata syarikat itu, pihak penternak juga sudah sedia maklum tindakan melepaskan lembu di kawasan ladang itu menceroboh tanah premis peribadi.
"Permintaan yang sama disampaikan beberapa kali oleh pihak SD Guthrie kepada mereka sebelum ini.
“Sejak 2019, SD Guthrie telah mengadakan lebih 46 pertemuan dan sesi perbincangan dengan penternak lembu yang terlibat di seluruh kawasan operasi syarikat kami di Semenanjung Malaysia untuk mendapatkan kerjasama dalam mengawal aktiviti ternakan lembu mereka.
"Ini termasuk mesyuarat yang dihadiri pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis bagi menjelaskan isu pencerobohan dan tindakan undang-undang yang boleh diambil kepada penternak lembu yang terbabit," kata syarikat itu lagi.
Tambah kenyataan itu lagi, SD Guthrie sentiasa mengutamakan keselamatan premis syarikat, pekerja sertakeluarga mereka dan komuniti sekitar.
"Selain kemalangan maut pada 23 Okt lalu, lembu-lembu yang menceroboh masuk ke kawasan SD Guthrie juga sebelum ini telah merosakkan harta benda seperti pejabat ladang, kawasan perumahan, pagar, taman permainan, dan kawasan rekreasi kanak-kanak, serta memijak dan memusnahkan anak-anak pokok kelapa sawit.
"Kami komited untuk meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kami dapat terus melindungi premis syarikat daripada sebarang bentuk pencerobohan, ancaman atau kerosakan mengikut semua peraturan sedia ada," tegas SD Guthrie.