Kerjasama antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berjaya mendapatkan semula AS$20 juta (lebih RM90 juta) yang berkaitan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
SPRM berkata dana tersebut berkaitan projek tenaga solar di Malaysia dan melibatkan Frank White Jr, seorang ahli perniagaan serta rakan kongsi dalam firma pelaburan DuSable Capital Management LLC.
"White Jr secara sukarela bersetuju untuk menyerahkan wang tersebut kepada DOJ selepas mendapati bahawa dana yang diterima oleh DuSable berasal daripada sumber yang dikaitkan dengan dana 1MDB yang disalahgunakan, meskipun beliau tidak menyedari sumber dana itu pada waktu penerimaan.
"SPRM dan Kerajaan Malaysia komited untuk meneruskan usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB.
"Sehingga kini, sebanyak RM29.73 bilion telah berjaya dipulangkan kepada kantung kewangan
kerajaan Malaysia. Ini tidak termasuk AS$20 juta yang dipulihkan hasil usaha SPRM dan FBI baru-
baru ini," kata suruhanjaya itu pada satu kenyataan hari ini.
Menurut SPRM, Selain itu, SPRM sedang giat mengejar pemulihan aset tambahan berkaitan 1MDB melibatkan beberapa bidang kuasa, termasuk Kuwait, Hong Kong, United Kingdom dan beberapa negara Eropah.
SPRM berkata pihaknya sedang memperhebat usaha melalui kerjasama strategik antarabangsa bagi memastikan aset yang dicuri dikembalikan kepada Malaysia demi manfaat rakyat.