Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid belum mahu ulas cubaan larang sentuh adendum

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai keputusan kerajaan yang memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah larangan (gag order) berkaitan titah adendum terkait Najib Razak.

Bagaimanapun, keengganan Presiden Umno itu mungkin untuk masa ini kerana dia memberi bayangan akan mengulas pada kesempatan yang lain.

"Saya akan menjawab pada waktu lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Konvensyen Risda di Bangi, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid ditanya pendirian Umno berhubung keputusan kerajaan memfailkan permohonan untuk mendapatkan gag order daripada mahkamah bagi melarang mana-mana pihak membincangkan isu berkaitan titah adendum.

Isnin lalu peguam bela Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Menurut salinan permohonan yang dilihat Malaysiakini, kerajaan memohon perintah larangan tersebut bagi menghalang mana-mana pihak termasuk media daripada menerbitkan atau menyiarkan apa-apa bentuk komunikasi sama ada secara cetak, elektronik, digital dan platform media sosial.

Ia juga bagi menghalang semua pernyataan, komen atau perbincangan yang meragui, mempersoalkan, mencabar atau menghina kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Sekiranya mahkamah sivil membenarkan perintah larangan tersebut, ia bukan sahaja akan menghalang pihak media daripada melaporkan kes itu tetapi juga menghalang mana-mana anggota badan kehakiman dan peguam yang terlibat secara langsung dalam tindakan sivil itu daripada memberikan salinan dokumen sulit berkaitan kes tersebut kepada orang awam.

Sebelum ini Najib memohon semakan kehakiman bagi menuntut pelaksanaan titah tambahan berkenaan yang didakwa membenarkannya menjalani baki hukuman penjara di rumah berbanding di Penjara Kajang.

Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman tersebut atas alasan afidavit sokongan yang dikemukakan oleh Ahmad Zahid dan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail adalah bersifat khabar angin.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan baru-baru ini menerima rayuan Najib dan mengembalikan kes tersebut ke mahkamah tinggi untuk didengar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS