Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar TVET GiatMARA wajib jalani ujian khas bacaan al-Fatihah
Diterbitkan:  Jan 23, 2025 1:58 PM
Dikemaskini: 6:22 AM

Semua pelajar latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) GiatMARA wajib melalui ujian khas bacaan al-Fatihah, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Asyraf Wajdi Dusuki.

Meskipun dilihat remeh, namun katanya, masih ramai pelajar GiatMARA yang bacaan al-Fatihah mereka masih lagi tidak betul.

"Semua pelajar latihan TVET GiatMARA saya minta untuk diwajibkan melalui ujian khas bacaan al-Fatihah dan fardu ain. Jika gagal, Mara akan buat program khas intervensi pengukuhan fardu ain.

"Mungkin ada pihak memandang remeh, tapi daripada pengalaman pegawai-pegawai GiatMARA ada pelajar yang tunggang langgang bacaan al-Fatihah mereka.

"Jika (bacaan) Fatihah pun bermasalah, macam mana ibadah asas solat nak disempurnakan. Ini belum lagi aspek-aspek fardu ain dan bacan al-Quran yang lain," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Jelas Asyraf, agenda TVET negara mesti diintegrasikan dengan elemen pembinaan jati diri dan kerohanian.

TVET tidak seharusnya sekadar melahirkan pekerja mahir tetapi pekerja yang punya jati diri, akal budi dan sahsiah terpuji.

Katanya, elemen keagamaan yang menjadi teras utama pembentukan jati diri ini juga mestilah diperkasakan dalam kalangan pelajar TVET.

"Sebab itulah, dalam memastikan agenda kerajaan dan aspirasi Pengerusi Majlis TVET Negara untuk memartabatkan agenda TVET ini, Mara wajib ambil tanggungjawab sebagai perintis dan peneraju program TVET berimpak tinggi dan pada masa sama menekankan aspek pembinaan insaniah yang holistik dari segi rohani, jasmani, intelek dan emosi.

"Ini kerana Mara adalah institusi terbesar dalam penyedian program TVET dengan jumlah institusi sebanyak 270 IPMA yang menawarkan pelbagai kursus TVET termasuk 232 GiatMARA seluruh Malaysia," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS