Seorang ‘cosplayer’ wanita membuat laporan polis mendakwa gambarnya disunting dan dijual dalam laman sosial oleh individu tidak bertanggungjawab, yang dipercayainya menggunakan kecerdasan buatan untuk membuatnya kelihatan seolah-olah dia berbogel.
Menurut hantaran di platform X, foto-foto suntingan mangsa yang menggunakan nama samaran Elyanasparks itu dijual pada harga RM18 di aplikasi media sosial Tumblr.
Penjual tersebut juga memuat naik kod QR perbankan untuk menerima bayaran, yang telah diserahkan mangsa kepada polis dengan harapan ia dapat membantu menangkap dalang tersebut.
Berikutan itu, polis daerah Petaling Jaya telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan kesalahan berkaitan pengedaran bahan lucah.
"Polis menerima laporan pada 20 Januari daripada seorang wanita tempatan yang memaklumkan bahawa fotonya telah disunting sehingga kelihatan bogel, dan foto-foto itu dimuat naik ke aplikasi Tumblr untuk dijual pada harga RM18 setiap satu.
"Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan. Oleh itu, polis menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes ini supaya menghubungi bilik operasi kami," kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Shahrulnizam Ja'afar, dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam hantaran berkaitan kes itu, mangsa berkata dia membuat laporan polis untuk menuntut keadilan dan meningkatkan kesedaran mengenai kegiatan seperti ini.
Elyanasparks mendakwa dia bukan satu-satunya mangsa pelaku tersebut, kerana terdapat juga foto wanita lain, termasuk kanak-kanak bawah umur dan mereka yang memakai hijab.
"Ya, saya sedar bahawa saya seorang cosplayer dan ini adalah sesuatu yang sering perlu saya hadapi. Namun, adalah salah di sisi undang-undang untuk menjual foto bogel.
"Saya juga amat membenci tuduhan orang yang mengatakan saya menjual foto seperti itu, kerana saya hanyalah seorang cosplayer yang suka menjadi diri sendiri dan saya menentang diri saya daripada melakukan kandungan NSFW (not safe for work content). Saya ada batasan," katanya.