Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Pemuda PAS dan Bersatu menyatakan komitmen untuk turut serta dalam Himpunan Rakyat Benci Rasuah di ibu negera, Sabtu ini.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Nadzir Helmi berkata, himpunan ini merupakan satu manifestasi hak rakyat dalam sebuah negara demokrasi, yang dijamin Perlembagaan Persekutuan di bawah kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.

"Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, kebebasan untuk berhimpun secara aman adalah antara 'tiang seri' demokrasi serta komponen utama proses semak dan imbang terhadap kerajaan yang memerintah.

"Justeru, adalah menjadi tanggungjawab rakyat dan pembangkang untuk memastikan agenda reformasi dan ketelusan terus diperjuangkan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu sekretariat perhimpunan antirasuah bertegas untuk meneruskan demonstrasi yang dijadualkan pada 25 Januari meskipun mendapat amaran daripada pihak polis.

Ia selepas Ketua Polis Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman, memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menghadiri perhimpunan berkenaan atau tindakan tegas akan diambil.

Sulizmie berkata notis yang diberikan penganjur tidak lengkap, selain tidak mendapat persetujuan daripada pemilik tempat berhimpun.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, dan jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil pula mempertahankan tindakan pihak berkuasa.

Nadzir berkata, himpunan Sabtu ini yang melibatkan sokongan daripada pembangkang dan rakyat adalah cerminan sifat responsif dan konsruktif semua pihak demi Malaysia yang lebih cemerlang.

Hal ini katanya, selari dengan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang beberapa kali menyatakan pendirian bahawa kerajaan sentiasa terbuka kepada sebarang kritikan dan cadangan untuk kebaikan negara.

"Himpunan ini juga bukan sekadar hak demokratik tetapi juga salah satu mekanisme untuk menyuarakan kegelisahan rakyat terhadap isu rasuah yang semakin berleluasa di negara ini.

"Pemuda PAS menuntut agar kerajaan bersikap matang dan menghormati hak rakyat untuk berhimpun tanpa sebarang gangguan atau sekatan yang tidak munasabah," katanya.

Dalam perkembangan sama, pemuda Bersatu turut mengesahkan mereka akan sertai himpunan tersebut.

Ketuanya Hilman Idham mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini, hari ini.

"Ya, Armada akan turut hadir," katanya yang juga Adun Gombak Setia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS