Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Beri ruang pada anak muda, kata kaki demo yang kini timbalan menteri
Diterbitkan:  Jan 23, 2025 12:30 PM
Dikemaskini: 4:45 AM

Di tengah-tengah polemik mengenai larangan pihak berkuasa terhadap himpunan antirasuah Sabtu ini, seorang kaki demo PKR yang kini menjadi timbalan menteri menggesa Putrajaya menghormati hak anak muda untuk berhimpun.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim yang juga bekas pemimpin Bersih, yang terkenal dengan siri demonstrasi mega, berkata kerajaan tidak perlu khuatir dengan suara anak-anak mahasiswa .

“Jangan hanya kerana mereka tidak memuji kita, dianggap mereka memusuhi kita. Kita harus menghargai sikap kritikal yang dizahirkan oleh mereka.

“Anak-anak muda ini sedang membentuk fikrah dan tekad dalam melawan kebobrokan serta barah rasuah dalam negara; ini adalah suatu yang harus kita pandang tinggi. Ini cita-cita yang sama diangkat oleh kerajaan Madani.

“Dalam banyak ucapan, perdana menteri sendiri sentiasa menekankan kemahuan untuk melihat anak-anak muda yang berkobar-kobar dalam menegakkan keadilan serta melawan rasuah.

“Jadi, wajar berikan ruang buat anak-anak muda ini menyempurnakan peranan mereka dalam zaman ini,” katanya dalam ciapan di X, malam semalam.

Adam Adli sendiri mencipta nama susulan penglibatan dalam demonstrasi di ibu pejabat Umno di Kuala Lumpu pada 2011.

Dia ketika itu yang masih seorang pelajar menggemparkan orang ramai dengan menurunkan bendera memaparkan gambar Najib Razak yang juga perdana menteri ketika itu.

Dia juga banyak terlibat dengan siri demonstrasi lain yang menentang kerajaan.

Kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim hari ini berdepan kritikan hebat kerana menghalang perhimpunan yang akan berlangsung hujung minggu ini di Kuala Lumpur.

Polis mendakwa penganjur gagal mematuhi syarat Akta Perhimpunan Aman kerana tidak mendapat persetujuan Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai ‘pemilik’ tapak Dataran Merdeka.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mempertahankan keputusan pihak berkuasa.

Sambil menolak kebimbangan penganjur perhimpunan mengenai arahan polis untuk mendapatkan kebenaran pemilik premis, Saifuddin mempersoalkan mana-mana tempat awam boleh dianggap sebagai tiada pemilik.

Menteri kemudiannya menegaskan, sekiranya penganjur sudah biasa dengan keperluan ini, tidak perlu ada sebarang aduan atau persoalan mengapa peruntukan tertentu wujud.

Bagaimanapun, peguam New Sin Yew menyangkal kenyataan itu bahawa undang-undang adalah jelas bahawa dataran itu adalah ruang awam yang hanya diselia oleh DBKL.

Sementara itu Adam yang juga timbalan menteri belia dan sukan berkata, dia yakin Saifuddin ada kewajipannya untuk tidak mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan undang-undang di bawah seliaan sendiri.

“Bagaimana pun kerajaan dan autoriti pasti sekali ada budi bicara tersendiri. Semoga aksi yang direncana berjalan aman, lancar dan terkawal, sesuai hak untuk bersuara dan berhimpun secara aman yang dijamin oleh hukum dan perlembagaan kita,” kata ketua pemuda PKR itu.

Dalam perkembangan itu, kenyataan Fahmi mempertahankan pihak berkuasa dalam perkara itu menjadi bahan ejekan oleh artis grafik, Fahmi Reza.

Dalam poster yang dimuat naik di X malam tadi, aktivis itu membuat kolaj gambar bagi membandingkan kenyataan menteri sebelum dan selepas dia berkuasa.

Salah satu gambar menunjukkan Fahmi Fadzil menjadi sebahagian daripada perhimpunan di Kuala Lumpur pada 7 Mac 2015, mempertahankan perhimpunan aman sebagai "hak asasi" (hak asasi) yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, manakala satu lagi gambar kenyataannya baru-baru ini mempertahankan peraturan mendapatkan persetujuan pemilik premis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS