Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPKT raikan Tahun Baru Cina pula
Diterbitkan:  Jan 23, 2025 12:24 PM
Dikemaskini: 4:50 AM

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini meraikan Tahun Baru Cina dengan menghias ibu pejabatnya di Putrajaya dengan tanglung dan hiasan lain sempena perayaan itu minggu depan.

Sambutan itu hadir kira-kira sebulan selepas kontroversi sambutan Krismas yang melibatkan kakitangan beragama Islam bulan lepas.

Menteri KPKT Nga Kor Ming menegaskan komitmen kementeriannya untuk meraikan kepelbagaian budaya demi memupuk perpaduan nasional dalam kepelbagaian. 

Katanya, sambutan seperti itu memainkan peranan penting dalam pengukuhan perpaduan rakyat serta menjalin siratulrahim masyarakat berbilang kaum. 

“Di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kami berbangga meraikan pelbagai perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina,” kata Nga.

PAS bulan lalu mengkritik persembahan koir Krismas di KPKT oleh penjawat awam atas alasan orang Islam tidak boleh terlibat dalam perayaan agama lain.

Nga bagaimanapun mempertahankan acara itu dan menggambarkannya sebagai cerminan rasa hormat dan harmoni antara kakitangan kementerian.

Tahun Baru Cina bagaimanapun umumnya dianggap sebagai perayaan budaya, bukan agama.

Sementara itu, Nga, yang meminta orang ramai memanggilnya “Abang Kor Ming”, juga mengumumkan penganjuran rumah terbuka Tahun Baru Cina di KPKT pada 6 Februari depan.

“Semua dijemput untuk bersama-sama kami merayakan Tahun Baru Cina ini dengan penuh kegembiraan dan keharmonian. 

“Kami akan menjemput kumpulan dari pelbagai kaum untuk mempersembahkan tarian singa dan nyanyian lagu bertemakan perayaan Tahun Baru Cina yang seiring dengan zodiak ular,” tambahnya.

Nga turut bergambar bersama-sama warga KPKT pelbagai bangsa yang rata-rata memakai pakaian merah serta membuat isyarat ular sempena Tahun Ular dalam kalendar Cina.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS