Hanya selama kira-kira sejam untuk mempelajari bahasa isyarat untuk video muzik lagu terbarunya, Angkat, penyanyi Mimifly tidak menyangka gerakan tangan yang menjadi sebahagian daripada koreografi itu mencipta fenomena di media sosial.
Pemilik nama sebenar Shamimi Amalina Norhisham itu juga terharu apabila bahagian rap berdurasi 12 saat tersebut tular serta menjadi pilihan warga maya sebagai muzik latar kandungan media sosial dan menjadi trend menerusi tanda pagar AngkatSLChallenge di TikTok.
“Sebenarnya ilham untuk masukkan konsep bahasa isyarat itu last minute, dan datang secara bersahaja.
"Pada mulanya Mimi hanya tengok pelajar kelas yoga Mimi berinteraksi dalam bahasa isyarat ketika di kedai makan dan tanya apa mereka sedang buat.
“Jadi mereka cakap ada ujian bahasa isyarat sebentar lagi… sambil makan Mimi tengok mereka dan terlintas di fikiran betapa cantiknya seni bahasa isyarat ini jika dijadikan koreografi,” katanya ketika ditemui selepas program Show Buzz terbitan Bernama Radio hari ini.
Jelas penyanyi berusia 39 tahun itu, tanpa berfikir panjang dia menghubungi guru terbabit yang juga individu pekak dan bisu bagi membantunya menterjemahkan lirik lagu kepada bahasa isyarat.
Mengulas makna lirik lagu yang mendapat tontonan 1.5 juta di YouTube selepas tiga minggu dilancarkan, Mimi berkata ia ditulis berdasarkan pengalaman peribadinya dan menjadi “jawapan balas” terhadap kritikan negatif yang sering diterimanya.
“(Mimi) bayangkan cakap pada orang yang mengata Mimi. Baris kedua pula Mimi perli dia, sebab sejujurnya Mimi rasa macam ‘eh kau ni’...
"Jadi saya nak liriknya luhur dan datang daripada perasaan, bukan nasihat," katanya.
Tambah Mimifly, dia mula mencipta lagu sejak menyertai dunia seni dan menganggap Angkat sebagai karyanya yang paling jujur.
"Apabila orang yang mendengar rasa dekat (mungkin) sebab kita dengar daripada perasaan. Mimi cuma nak jadi seluhur yang mungkin dengan apa Mimi rasa,” katanya.
Dia juga mendedahkan sedang bekerja keras menghasilkan lagu raya bersempena Syawal tahun ini.
“Akan ada lagi lagu-lagu lain yang akan menyusul. Karya seterusnya adalah reaksi balas lagu Angkat, jadi doakan (semoga jadi realiti). Sekarang ini Mimi nak usahakan lagu raya dulu,” katanya.
- Bernama