Syarikat Oriental Kopi membatalkan rancangan mereka untuk menaikkan caj perkhidmatan semasa Tahun Baru Cina akan datang.
Dalam catatan di Facebook malam tadi, rangkaian restoran popular itu memohon maaf atas pengumuman awal mengenai kenaikan caj perkhidmatan yang dirancang semasa tempoh perayaan.
"Kami benar-benar memohon maaf atas kesulitan yang berlaku sejak beberapa hari lalu.
"Sepanjang Tahun Baru Cina ini, caj perkhidmatan kami akan kekal, dan tiada pelarasan akan dibuat.
"Kami komited untuk menyediakan anda dan keluarga serta rakan anda pengalaman menjamu selera terbaik semasa musim perayaan ini," katanya.
Pada Isnin, Oriental Kopi mengumumkan bahawa caj perkhidmatannya akan dinaikkan daripada 10 peratus kepada 15 peratus pada hari pertama dan kedua Tahun Baharu Cina yang jatuh pada 29 dan 30 Jan ini.
Ini mencetuskan kekecohan orang ramai, malah turut mendorong Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah, mempersoalkan sama ada kenaikan caj perkhidmatan itu munasabah dan dibenarkan undang-undang.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup seterusnya mengingatkan orang ramai bahawa pelanggan boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa yang berkaitan jika mereka mendapati restoran menaikkan caj perkhidmatan semasa musim perayaan.
Syarikat Oriental Kopi Holdings Bhd mula didagangkan di Bursa Malaysia hari ini dengan dibuka pada harga 75 sen.