Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Hanya setengah jam pemanduan dari Kluang terletak sebuah pekan terpencil di tengah Johor. Kahang mungkin tidak dikenali ramai, tetapi selama bertahun-tahun sering muncul dalam berita tempatan gara-gara gajah liar.

Saya masih ingat membaca laporan berita tempatan tentang Kahang beberapa tahun lalu. Seekor anak gajah dilanggar oleh sebuah jip yang bergerak laju di lebuh raya pada waktu malam. 


BACA BERKAITAN:

Bahagian 1: 'Bangkai gajah bolehkah ditutup dengan nyiru?'


Anak gajah itu mati di tempat kejadian manakala jip tersebut mengalami kerosakan teruk. Menurut laporan berita keesokan harinya, bangkai anak gajah itu ditanam di tepi jalan.

Namun, ada susulan kejadian yang tidak dijangka dalam cerita ini: Beberapa hari kemudian, sekawanan gajah liar dilihat berkeliaran di sekitar lokasi kemalangan. 

Kumpulan haiwan berkenaan enggan meninggalkan kawasan itu dan malah mengejar penunggang motosikal yang melalui jalan tersebut. Seolah-olah gajah berkenaan meratapi kehilangan anak mereka dan meluahkan rasa marah terhadap manusia.

Gajah dibunuh dengan racun

Pada Jun lalu, seekor gajah betina dewasa dan tiga anak gajah jantan ditemui mati di sebuah ladang di timur Kahang. 

Bedah siasat menemukan sel-sel bermutasi menyebabkan Jabatan Veterinar percaya keempat-empat gajah ini diracun dan dibunuh oleh manusia.

Kes-kes keracunan gajah ini menunjukkan rasa tidak puas hati yang semakin memuncak di kalangan penduduk tempatan, terutamanya petani dalam konflik antara manusia dan hidupan liar.

Salah seorang daripada mereka meluahkan kekecewaannya terhadap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan):

“Mereka mahu kami hidup harmoni dengan gajah, tapi ini bukan lembu atau kambing. Saya tak boleh rantai binatang ini dan kerajaan tidak benarkan saya tembak atau bunuh mereka. Jadi bagaimana sebenarnya saya nak hidup bersama mereka?”

Zaman penjajah gajah ditembak 

Semasa era penjajahan British dan awal kemerdekaan Malaysia, Jabatan Mergastua (agensi sebelum penubuhan Perhilitan) memberikan lesen kepada pemburu untuk membunuh gajah liar yang merosakkan tanaman di Semenanjung Malaysia. 

Antara 1960 dan 1963, sebanyak 127 gajah ditembak mati; antara 1970 dan 1976 jumlah itu menurun kepada 36 ekor.

Apabila kesedaran pemuliharaan ekologi meningkat, peranan Jabatan Mergastua berubah daripada mengawasi aktiviti pemburuan kepada menjadi agensi yang menumpukan pada pemuliharaan hidupan liar dan pengurusan Taman Negara, kini dikenali sebagai Perhilitan.

Pada tahun 1974, Perhilitan menubuhkan Unit Penangkapan Gajah dan juga sebuah pusat pemuliharaan gajah. Pada waktu itu, kerajaan mengubah strategi dalam menangani gajah liar yang merosakkan tanaman dengan memilih untuk memindahkan mereka ke hutan lain, bukannya membunuh mereka.

Antara 1974 hingga 2010, Perhilitan memindahkan lebih 600 ekor gajah. Kosnya sangat tinggi, dengan purata RM40,000 dibelanjakan bagi setiap pemindahan gajah.

Namun, menurut laporan pasukan kewartawanan penyiasatan R.AGE, amalan ini bukan sahaja meningkatkan konflik antara kumpulan gajah malah persaingan untuk kawasan meletakkan nyawa penduduk berhampiran dalam risiko.

Kajian: Gajah tertekan lepas dipindah

Walaupun dengan penglibatan Perhilitan, amalan ini hanya menyasarkan beberapa ekor gajah, bukan keseluruhan kawanan haiwan berkenaan.



Kajian menunjukkan gajah liar mengalami tekanan besar selepas dipindahkan ke hutan baru. Haiwan itu menghabiskan banyak masa mencari kawasan hutan yang dikenali, menjelajah jarak lima kali lebih jauh dari kebiasaan, yang secara tidak langsung mengurangkan masa untuk mengawan dan mencari makanan.

Pada tahun 2019, Perhilitan menangkap seekor gajah bernama Seluyut di hutan Kota Tinggi, Johor selatan. Gajah itu dipasang alat pengesan GPS dan dipindahkan ke hutan Lenggor di utara Johor.

Namun, mengejutkan ramai, Seluyut mengembara sejauh 71 kilometer hanya dalam dua minggu. Seperti seorang manusia yang tahu jalan pulang, Seluyut akhirnya sampai ke tempat asalnya.

Pemindahan gajah, seperti yang sering ditekankan oleh Perhilitan merupakan "jalan terakhir". 

Berdasarkan bancian pada tahun 2011, terdapat hanya kira-kira 1,223 hingga 1,677 ekor gajah liar di Semenanjung Malaysia.

Gajah-gajah ini kebanyakannya terdapat di Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

Negeri-negeri ini sering melaporkan konflik antara manusia dan gajah menyebabkan banyak kematian, kecederaan dan kerugian wang ringgit.

Jika pemindahan gajah bukan lagi pilihan utama, apa yang kerajaan boleh buat untuk menangani konflik yang timbul pada masa depan?

Petani ketakutan

Menjelang senja di Kampung Sri Lukut, Kahang, penduduk desa menunggu kemunculan gajah di ladang kelapa sawit Felcra Sungai Semberong.

Musim tanam semula sedang berlangsung; bau biji kelapa sawit memenuhi udara; kawanan gajah pasti tertarik untuk memakan umbut anak sawit. Ini masa terbaik bagi penduduk kampung melihat jiran mereka yang misteri itu dari dekat.

Penduduk menunggu gajah di ladang sawit.

Ako, seorang pekerja asing dari Indonesia, sedang menunggang motosikalnya melalui sebuah ladang getah. 

Ketika menoleh ke belakang, dia melihat sesuatu yang mengerikan: Misirah sedang diserang dan dipijak oleh seekor gajah.

Dia tahu dia tidak boleh menghadapi gajah itu sendirian. Tanpa berlengah, dia memecut untuk mendapatkan bantuan daripada suami Misirah, Sugianto Giman dan penduduk kampung lain yang berdekatan.

Mereka bersama-sama membawa Misirah ke unit kecemasan hospital terdekat, berharap agar keadaanya belum terlambat.

Namun, pada pukul 8:20 pagi, kakitangan perubatan mengesahkan Misirah meninggal dunia. Laporan menyatakan punca kematian kerana kecederaan berganda dan pendarahan dalaman, termasuk patah tulang rusuk di kedua-dua belah, hemothorax, pecah jantung, patah tulang belakang dan pendarahan di bahagian abdomen akibat koyakan hati.

Kisah gajah pembunuh menghantui penduduk kampung. Sebagai saksi kejadian tragis itu, Ako terkesan dengan pengalaman tersebut.

Dia tidak lagi berani bekerja di ladang sawit dari pagi hingga senja. Sebaik sahaja petang tiba, dia segera meninggalkan ladang tanpa berlengah, tidak sanggup mengambil risiko berhadapan dengan gajah liar lagi.

Penduduk kampung yang bimbang menghubungi ketua kampung Yusoff Ibrahim dan bertanya: “Apa yang harus kami buat?” 

Pencerobohan gajah menjadi masalah besar. Mengelak usaha pertanian menjadi sia-sia, penduduk kampung memilih untuk meninggalkan kebun mereka begitu sahaja.

Banyak ladang di Kampung Sri Lukut kini terbiar, kata Yusoff.

Masalah ini bukan unik di Kampung Sri Lukut. Banyak penduduk kampung di Kahang turut meninggalkan tanah kebun kerana masalah gajah liar, menjadikan tanah itu tidak lagi bernilai di pasaran.

Menyambung dua hutan terpisah

Sumber pendapatan kampung itu kini “terhenti” kerana tanah-tanah tersebut dahulunya membekalkan buah-buahan dan sayur-sayuran untuk dijual atau dimakan. 

“Sekarang kami terpaksa beli semuanya di kedai,” kata mereka.


 

Pelan induk Central Forest Spine (CFS) salah satu penyelesaian jangka panjang utama yang digariskan dalam pelan kewujudan bersama manusia-gajah.

CFS gugusan kompleks hutan yang diklasifikasi dalam Rancangan Fizikal Negara (RFN) sebagai kawasan sensitif alam sekitar di Semenanjung Malaysia yang mempunyai nilai ekosistem dan jumlah hidupan liar yang tinggi.

Ia merentasi lapan buah negeri; Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.

CFS terdiri dari empat kompleks hutan utama iaitu Banjaran Titiwangsa-Banjaran Bintang-Nakawan, Taman Negara-Banjaran Timur, Pahang Tenggara, Chini dan Tasik Bera, dan Taman Endau Rompin- Rizab Hidupan Liar Kuang.

Profesor madya kehormat di Universiti Nottingham Lim Teck Wyn menjalankan penyelidikan peringkat doktor falsafah mengenai isu gajah liar dan sejarah alam sekitar Semenanjung Malaysia. 

Menurut analisis Lim, kelaziman konflik manusia-gajah di Kahang boleh dikaitkan dengan kedudukan geografi lokasinya. 

Kahang terletak di tengah Johor, penghubung utama antara Taman Negara Endau Rompin di utara dan hutan Kota Tinggi di selatan. 

Aktiviti pembalakan dan pembersihan tanah yang kerap telah menceroboh kawasan tersebut, menyempitkan koridor yang sepatutnya menghubungkan dua kawasan hutan.  

"Jika anda ingin menghubungkan dua kawasan hutan ini, anda perlu melalui kawasan Kahang. Kahang terletak di antara kedua-duanya.  

"Inilah yang biasa disebut sebagai koridor hidupan liar, ia membolehkan hidupan liar bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain. 

"Dalam jangka masa panjang, ini penting kerana jika hutan-hutan ini terputus hubungan, gajah boleh pupus akibat baka membiak sesama sendiri."  

Lim memberi amaran keadaan pembiakan sebegini boleh menyebabkan kehilangan kepelbagaian genetik, yang berisiko mengakibatkan kemandulan dalam populasi gajah.

Johor warta rizab hidupan liar 1933

Pada hakikatnya, dua kawasan hutan seluas 147,454 hektar digazetkan sebagai rizab hidupan liar oleh kerajaan Johor pada tahun 1933 berdasarkan Enakmen Perlindungan Hidupan Liar dan Burung Johor 1923. 

Walaupun enakmen itu melarang aktiviti pemburuan, ia tidak menghalang pembukaan ladang dan pembinaan jalan dalam rizab tersebut, kata Lim. 

Sebagai contoh, kawasan rizab hutan Mersing, walaupun diwartakan sebagai rizab hidupan liar, masih menyaksikan pembangunan ladang dan aktiviti pembalakan.

Pelan Induk 2022 untuk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS), yang dirangka oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa menetapkan empat koridor ekologi untuk menghubungkan dua hutan yang disebutkan tadi.

Namun, jabatan itu mendapati koridor-koridor yang dicadangkan ini telahpun dibersihkan untuk pembangunan ladang komersial.

Lim percaya kerajaan negeri perlu melindungi hutan di sepanjang koridor ekologi secara aktif. Ini dapat menghalang pembangunan memutuskan hubungan antara kedua-dua hutan tersebut. 

Bagaimanapun, tanah-tanah ini sama ada merupakan hutan milik kerajaan atau tanah persendirian, masing-masing dengan rancangan pembangunan mereka sendiri. 

Persoalan utama masih kekal, adakah kerajaan negeri bersedia menghentikan pembangunan untuk tujuan pemuliharaan?

Cadangan koridor ekologi

Jabatan Perancangan Bandar dan Desa mencadangkan agar kerajaan negeri mewartakan semula hutan milik kerajaan sebagai rizab hutan perlindungan. 

Ini dapat mencegah peluasan ladang kelapa sawit yang akan terus menceroboh kawasan hutan sekeliling.

Namun, bagi hutan yang ditanam semula, mikro-koridor perlu diwujudkan untuk menghubungkan hutan-hutan ini bagi membolehkan gajah bergerak dengan selamat. 

Gambar fail, projek koridor gajah di Sabah oleh Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF).

Terdapat juga kebimbangan sesetengah ladang mungkin tidak mematuhi garis panduan seperti membina parit atau memasang pagar elektrik, yang boleh menghalang laluan gajah.

“Bolehkah koridor ekologi mengurangkan ketegangan antara manusia dan hidupan liar?” saya bertanya kepada Lim.

“Koridor yang direka dengan baik boleh mengurangkan konflik… tetapi ia memerlukan perancangan rapi untuk mencipta laluan yang menjaga hidupan liar jauh dari zon konflik,” jawabnya. 

Pendekatan kurangkan konflik

Lim mencadangkan agar kerajaan membina jejambat atau terowong di sepanjang koridor untuk membantu hidupan liar melintas jalan dengan selamat dan mengelakkan gajah daripada dilanggar oleh kenderaan. Istilah yang digunakan dalam pemuliharaan, lintasan hidupan liar.

Contoh yang boleh dipelajari termasuk Eco-Link di Bukit Timah, Singapura atau jejambat di Gerik, Perak yang membolehkan gajah dan haiwan lain melintas dengan selamat.  

Pada masa ini, Jabatan Hidupan Liar hanya memasang papan tanda di sepanjang jalan untuk mengingatkan kenderaan supaya memperlahankan kelajuan, serta memberi arahan keselamatan jika bertembung dengan gajah liar. 

Kerajaan negeri juga telah menubuhkan 21 kawasan ragut 'food bank' di Kluang, Mersing dan Kota Tinggi dengan menanam pokok pisang dan rumput Napier untuk menarik kawanan gajah menjauhi ladang kelapa sawit. 

Langkah menanam kawasan ragut ini bertujuan menghalang gajah daripada menceroboh tanah pertanian untuk mencari makanan ketika mereka kelaparan. 

Kerajaan persekutuan turut melancarkan Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG), iaitu pemasangan pagar elektrik di sekitar ladang untuk mencegah kunjungan gajah liar dan Sistem Amaran Gajah, yang mengaktifkan penggera memberi amaran kepada petani apabila gajah mendekati ladang mereka.

Namun, seorang penduduk kampung yang hanya mahu dikenali sebagai Mario memberitahu saya kebanyakan penduduk tidak mampu melabur untuk memasang pagar atau menggali parit kerana kedudukan kewangan pekebun kecil seperti mereka.

Pelajaran dari Afrika, India

Afrika dan India memberi kita pengajaran bahawa pemusnahan koridor ekologi akan membawa kepada peningkatan konflik antara manusia dan gajah.

Penyelesaian terbaik setakat ini meminta syarikat pembangunan ladang besar membina koridor ekologi manakala pemilik ladang kecil boleh secara kolektif membina pagar elektrik untuk menjauhkan gajah.

Gambar fail, projek koridor kawasan ragut gajah di Sabah oleh Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF).

Namun, perlu diingat kewujudan bersama secara damai dengan gajah tidak boleh bergantung semata-mata pada usaha individu.

Kita memerlukan pelan lebih bersepadu dalam pembangunan tanah, yang juga memerlukan pengagihan semula penggunaan tanah.

Pelan rangka CFS dan cabarannya

Cita-cita ini telah digariskan dalam pelan cetak biru CFS (Central Forest Spine), yang menandakan kawasan dengan potensi untuk dibangunkan menjadi koridor ekologi.

Namun begitu, kawasan ini telah dimajukan selama bertahun-tahun dan berkait rapat dengan keuntungan komersial pemilik tanah serta institusi kerajaan.

Bagaimana kita dapat meyakinkan mereka untuk melibatkan diri dalam pelan CFS ini, atau bahkan untuk mengorbankan keuntungan mereka demi kepentingan ekologi?

Catatan tambahan:

Tiga minggu selepas serangan gajah itu, penduduk kampung mengajak Sugianto untuk bertemu saya ketika saya kembali ke situ untuk sesi temu bual.

Dia tiba dengan motosikalnya, wajahnya kelihatan pucat dan letih tetapi dia membawa buah tangan dua biji durian kampung.

Sugianto amat merindui arwah isterinya Misirah. Dahulu, dia takut kepada gajah liar namun selepas kematian isterinya itu dia dibelenggu perasaan yang bercampur-baur.

“Dulu saya hanya takut pada mereka. Sekarang, saya rasa marah. Tapi saya hanya boleh menjauhkan diri setiap kali melihat mereka. Mereka besar, dan kami tidak boleh buat apa-apa,” keluhnya.

Saya meninggalkan kampung itu sambil merenung kata-kata Sugianto. 

Konflik manusia-gajah ini didorong oleh perubahan besar dalam persekitaran semula jadi kita, serta pertindihan kepentingan tanah dan kuasa.

Tanpa keupayaan untuk menyediakan penyelesaian yang lebih baik, manusia dan haiwan liar terpaksa bertahan sendiri, menghadapi kekejaman antara satu sama lain.


Laporan ini dihasilkan dengan kerjasama Jaringan Penyiasatan Hutan Hujan (Rainforest Investigations Network), Pulitzer Center. Terjemahan ke dalam bahasa Melayu oleh Rahmat Haron.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS