BICARA 1MDB l Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Putrajaya bahawa beliau tidak bertanyakan mengenai keaslian surat-surat berkaitan derma daripada Arab Saudi kerana beliau menganggap dokumen itu adalah tulen.
Bekas perdana menteri itu berkata beliau menerima surat-surat berkenaan daripada ketua setiausaha sulitnya Allahyarham Datuk Azlin Alias, justeru, beliau menganggap surat tersebut adalah tulen dan tidak bertanyakan mengenai keasliannya.
Najib, 71, berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguamnya Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin ketika perbicaraan kes menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Wan Azwan Aiman: Datuk Seri, pendakwaan turut mendakwa bahawa dana itu tidak berasal daripada Raja Abdullah atas alasan anda tidak pada bila-bila masa menulis sepucuk surat untuk berterima kasih atau menyatakan penghargaan kepada Almarhum Raja Abdullah. Apa yang boleh anda katakan mengenai dakwaan dibuat pihak pendakwaan ini?
Najib: Saya tidak rasa begitu...anda boleh berterima kasih dalam banyak cara. Anda boleh berterima kasih kepada mereka dengan menulis surat. Anda juga boleh berterima kasih kepada mereka secara peribadi. Saya berpendapat lebih sopan bagi saya untuk berterima kasih kepada beliau secara peribadi daripada menulis surat.
“Dan sebab kedua adalah sepucuk surat dengan mudah boleh terjatuh ke tangan orang lain, dan elemen rahsia sangat penting dalam perkara seperti itu," jelas Najib.
Hari ini, Najib mengulangi bahawa beliau tidak mempunyai kepentingan secara langsung dalam 1MDB dan wang tersebut telah memasuki akaunnya daripada Raja Arab Saudi Almarhum Raja Abdullah
Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib untuk membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Najib berhadapan 25 pertuduhan, termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan bersambung esok.
- Bernama