Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Disember Tahun 2024 (DPT BLN12/2024) boleh dibuat untuk tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 22 Feb, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak.
Beliau berkata DPT BLN12/2024 yang diperaku dan diwartakan hari ini, mengandungi 42,333 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Dis 2024 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
Selain itu, ia mengandungi 7,844 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 2,814 pemilih bertukar kategori pengundi atau status.
“SPR menyeru warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 Dis 2024 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN12/2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ikmalrudin berkata SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https:/ /mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.
Kaedah lain termasuk aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-88927218.
Selain itu beliau berkata sekiranya pemilih mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN12/2024, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
- Bernama