Bukan kenderaan mewah, tetapi van jenazah yang amat diperlukan untuk urusan pengebumian dilaporkan hilang.
Van jenazah jenis Toyota Hiace berwarna putih milik Masjid Al-Ubudiah di Teluk Gong, Selangor itu disedari tidak berada di tempatnya sejak semalam.
Ketika dihubungi Malaysiakini, setiausaha masjid, Muhammad Yusuf Moksin, 47, memaklumkan van tersebut kali terakhir dilihat pada Jumaat lalu ketika solat Jumaat.
“Saya bersama nazir dan ketua petugas masjid kemudian menyedari van itu tidak berada di perkarangan masjid. Kami bertanya dalam kumpulan WhatsApp Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Ubudiah, namun semua kata tidak tahu,” katanya.
Menurutnya lagi, turut hilang bersama van itu ialah pengusung jenazah dan keranda.
Susulan itu, pihak masjid telah membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Teluk Gong.
Rakaman CCTV dedah kejadian
Menurut Muhammad Yusuf, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid menunjukkan van tersebut keluar dari kawasan masjid menuju ke jalan utama sekitar jam 12.30 pagi, Isnin.
“Buat masa ini, kami masih berusaha mencari van tersebut. Kami juga telah berkongsi maklumat kejadian dalam kumpulan WhatsApp untuk diviralkan.
“Tadi saya menerima panggilan daripada seorang individu yang mendakwa melihat van tersebut di Cheras. Saya telah maklumkan perkara ini kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Apa-apa pun, kami menunggu keputusan siasatan pihak berkuasa,” katanya.
Bagi mengelakkan kejadian serupa, pihak masjid akan mempertingkatkan keselamatan termasuk menambah lebih banyak CCTV di bahagian luar masjid serta mengetatkan kawalan.
“Kami akan perketatkan (kawalan) pintu pagar dan tutup pintu pagar apabila tidak digunakan.
“Kita juga akan cuba memohon kepada badan-badan korporat ataupun mana-mana pihak untuk menyumbang sebuah van jenazah terutamanya untuk digunakan apabila berlaku kematian," katanya.
Muhammad Yusuf turut memaklumkan kehilangan van ini menjejaskan urusan pengebumian kerana ia satu-satunya van jenazah yang mereka miliki.
“Sebelum ini memang masjid ini hanya ada satu van jenazah saja. Jadi, kita tidak ada lagi van jenazah untuk digunakan apabila ada kematian.
“Buat masa ini, sekiranya berlaku kematian, kami akan mohon bantuan daripada masjid berdekatan untuk sementara waktu,” jelasnya.