Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tugas pimpin negara lebih besar, saya tak boleh tahu semua hal 1MDB'
1

Bekas perdana menteri Najib Razak memberi keterangan dia tidak boleh terlibat dalam salah laku melalui pengurusan mikro 1MDB kerana dia mengendalikan seluruh negara yang lebih besar daripada syarikat itu.

Bekas menteri kewangan itu memberitahu Mahkamah Tinggi di Putrajaya hari ini bahawa ini adalah sebab mengapa dia diperdaya oleh ahli pengurusan 1MDB, yang diamanahkan dengan tugas dalam syarikat itu.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah, Najib mengingatkan pihak pendakwaan bahawa memandangkan dia adalah perdana menteri antara 2009 dan 2018, adalah mustahil baginya untuk membuat susulan dalam setiap hal berkaitan 1MDB kerana dia mempunyai tugas 'besar' memimpin negara.

Tertuduh berkata bahawa ramai bekas ahli pengurusan yang didakwa terlibat dalam penyelewengan syarikat itu tidak pernah didakwa atas jenayah berkenaan sebaliknya dijadikan saksi pendakwaan terhadapnya dalam perbicaraan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram 1MDB bernilai RM2.27 bilion.

Najib berhujah bahawa dia telah diperdayakan oleh dalang sebenar di sebalik penyelewengan itu kerana dia sibuk menguruskan Malaysia untuk kepentingan rakyat.

Najib: Anda perlu bergantung kepada sistem, jika pengurusan (1MDB) memberi gambaran yang salah, maka anda tidak mampu untuk mendapatkan gambaran penuh.

Shafee: (Timbalan pendakwa raya Ahmad) Akram (Gharib) berkata anda melakukan pengurusan mikro 1MDB.

Najib: Dia (Akram) tidak faham peranan perdana menteri menguruskan seluruh negara, seluruh negara bukan 1MDB tetapi jauh lebih besar daripada itu.

Tertuduh menegaskan bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan atau penglibatan dalam salah laku di 1MDB, dan semua penyelewengan dana itu didalangi semata-mata oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low) dan pihak pengurusan syarikat.

Antara bekas ahli pengurusan yang menjadi saksi pendakwaan ialah bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abd Rahman, bekas peguam amnya Jasmine Loo, dan bekas ketua pegawai kewangannya Azmi Tahir.

Semasa pemeriksaan balas Shafee, Najib menegaskan bahawa situasi pengurusan 1MDB mengelirukannya bukanlah terjadi di syarikat itu saja tapi sudah berlaku di bank pelaburan antarabangsa mewah seperti Goldman Sachs.

Dia menyatakan bahawa entiti Wall Street itu telah diperdayakan oleh pengurusannya sendiri berhubung dengan salah laku yang dikaitkan dengan 1MDB.

"Sebuah syarikat gergasi yang sangat cemerlang seperti Goldmans Sachs, anda mempunyai orang yang bijak di Goldman, tetapi mereka (syarikat) telah diperdayakan oleh pengurusan mereka sendiri, seperti yang kita tahu, mereka terpaksa membayar berbilion-bilion (dolar AS kepada pihak berkuasa penguatkuasaan Amerika Syarikat).

"Ia juga boleh berlaku kepada organisasi seperti Goldman Sachs. Tim Leissner dan Roger Ng disabitkan kesalahan di AS," kata Najib merujuk kepada dua bekas pegawai bank Goldman Sachs.

Ng dijatuhi hukuman penjara 10 tahun kerana terlibat dalam penyelewengan dana di 1MDB, manakala Leissner masih menunggu hukuman oleh mahkamah AS.

Pada 30 Okt, mahkamah jenayah memerintahkan Najib membela diri atas empat salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana daripada 1MDB.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie (boleh bertanggungjawab) terhadap Najib berhubung syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Hakim memutuskan Najib perlu menjawab pertuduhan berikutan kekuatan pelbagai 50 keterangan saksi semasa peringkat prosiding pendakwaan yang berlangsung enam tahun sejak perbicaraan bermula pada 2019. Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018.

Sejak keputusan prima facie, Najib telah memberi keterangan dalam pembelaannya terhadap tuduhan jenayah 1MDB.

Bekas ahli parlimen Pekan itu telah menjadi saksi untuk membela diri sejak 2 Dis tahun lalu, menghabiskan 22 hari memberikan keterangan lisan.

Dia disoal balas oleh pihak pendakwaan selama 10 hari, dengan pendakwa raya telah menyelesaikan proses pemeriksaan utama mereka petang semalam.

Hari ini, Najib memulakan pemeriksaan balas oleh Shafee.

Selain pembelaan bahawa orang lain mendalangi penyelewengan itu, bekas perdana menteri itu juga mendakwa dia percaya bahawa berbilion ringgit yang mengalir ke akaunnya dikaitkan dengan janji derma 2010 oleh raja Arab Saudi, Raja Abdullah.

Apabila Shafee menyoal mengenai empat surat dari Arab yang didakwa menjanjikan derma kepada Najib, bekas perdana menteri itu berkata dia tidak membelanjakan wang derma itu untuk perkara yang tidak memberi faedah kepada Malaysia.

“Saya memilih untuk membelanjakannya dalam konteks apa yang baik untuk negara. Kita boleh lihat daripada cek yang dikeluarkan secara telus.

"Saya tidak pernah menggunakannya untuk membeli kapal layar atau banglo mewah atau perkara-perkara seperti itu, yang saya boleh lakukan, maksud saya anda mengambil maksud harfiah ini (dakwaan surat Arab).

"Saya boleh pergi membeli-belah tetapi saya tidak buat, dan saya jadikannya telus dengan mengeluarkan cek," kata Najib.

Sebelum ini, Najib memberi keterangan bahawa dia mengeluarkan beberapa cek berkaitan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk kebaikan rakyat dan bukan untuk kepentingan peribadinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
1
ADS