Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kematian Dr Tay bukan disebabkan buli'
Diterbitkan:  Jan 22, 2025 4:22 PM
Dikemaskini: 9:31 AM

Kematian pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu, Sabah, Dr Tay Tien Yaa pada Ogos tahun lepas tidak melibatkan isu buli di tempat kerja atau menghadapi beban kerja berlebihan.

Pengerusi pasukan petugas khas bebas berhubung kematian pakar patologi itu Borhan Dolah berkata dapatan mereka merumuskan dakwaan mendiang ditindas, dizalimi atau dibuli ketua jabatannya juga tidak berbangkit.

“Kalau kita lihat dari segi dapatan siasatan, mereka bekerja sebagai satu pasukan yang baik, sentiasa berhubung dan saling bantu-membantu dalam urusan kerja masing-masing,” katanya yang dipetik Bernama pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Borhan berkata siasatan terhadap dakwaan ketua jabatan hospital itu tidak bertindak sebagai pemimpin juga tidak timbul, kerana semua mereka bekerja secara berpasukan dan profesional, yang diperoleh menerusi temu bual rakan dan kakitangan hospital.

Selain itu, Borhan berkata tiada sebarang aduan dimaklumkan kepada pasukan siasatan berhubung dakwaan ketua jabatan dan mendiang dilihat bertengkar.

Pasukan itu secara umumnya, juga tidak menemukan bukti yang dapat menyokong dakwaan mendiang dibebani beban kerja berlebihan dan di luar skop kerja, kerana tugasan dilakukannya adalah seperti ditetapkan dalam senarai tugas.

“Tidak ada satu pun yang kita dapati berada luar skop atau luar bidang tugas dan selaku Timbalan Ketua Jabatan 1, mendiang bertanggungjawab menguruskan perolehan dalam isu penjagaan stor dan sebagainya,” katanya.

Laporan Bernama juga melaporkan, berhubung dakwaan Dr Tay dirujuk sebagai pegawai perubatan bagi urusan luar bidang, beliau berkata pihaknya juga tidak menemukan bukti yang dapat menyokong kenyataan itu.

Beliau berkata apa yang berlaku ialah disebabkan tugasan on-call, yang mana semasa itu, doktor terlibat perlu menjawab semua soalan yang didatangkan daripada pelbagai bidang.

Berhubung dakwaan Dr Tay mahu dikekalkan berkhidmat di Semenanjung, Borhan berkata pihaknya mendapati tiada rayuan dibuat mendiang di bahagian sumber manusia.

Siasatan pasukan itu secara keseluruhan melibatkan temu bual dengan 19 individu terdiri daripada ahli keluarga, kakitangan hospital dan saksi berkaitan, 41 dokumen antaranya laporan polis, rakaman video, gambar dan laporan perubatan serta lawatan ke hospital itu.

Borhan berkata pasukan itu juga telah mengemukakan beberapa syor kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelak kejadian seperti itu berulang, selain mencadangkan program bagi membantu pegawai perubatan yang bertukar antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak dilakukan agar mereka cepat beradaptasi.

Pada 29 Ogos, Dr Tay ditemukan meninggal dunia di rumah sewanya di Lahad Datu dan kematian itu tular di media sosial selepas ahli keluarganya mendakwa ia disebabkan mangsa menghadapi tekanan dan dibuli di tempat kerja.

Sehubungan itu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran di platform X pada 16 Sept, menggesa siasatan terperinci dilakukan terhadap dakwaan itu kerana tidak boleh bertoleransi dengan perbuatan buli.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS