Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih, Suaram kecam taktik lapuk polis halang demo antirasuah
Diterbitkan:  Jan 22, 2025 4:19 PM
Dikemaskini: 8:20 AM

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mengecam tindakan polis memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyertai Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang dijadualkan pada 25 Januari ini.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua badan itu menyifatkan kenyataan Ketua Polis Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman merupakan 'taktik lapuk' untuk menghalang suara rakyat.

Kedua-dua badan itu turut menegaskan bahawa hak berhimpun dan bersuara dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara.

"Taktik menggunakan peruntukan-peruntukan kecil seperti tidak cukup pemakluman adalah taktik lapuk yang digunakan untuk mendekam suara rakyat daripada terus dilaungkan. Apatah lagi isu rasuah ini adalah isu besar yang masih membara dalam negara.

"Tidak waras bagi pihak berkuasa yang cuba untuk menghalang himpunan aman ini dijalankan. Apakah sebenarnya yang ditakuti oleh penguasa? Adakah ketua polis Dang Wangi keluarkan kenyataan atas desakan mana-mana individu atau menteri dalam kerajaan atau beliau sendiri," kata mereka.

Semalam, Sulizmie berkata semakan pihaknya mendapati notis yang diberikan penganjur tidak lengkap kerana tiada salinan persetujuan daripada pemilik tempat perhimpunan.

Menurutnya, pada 17 Jan lalu respons terhadap notis pemberitahuan perhimpunan tersebut telah diberikan kepada pihak penganjur supaya memenuhi peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan yang menyalahi peruntukan undang-undang dan tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Bersih dan Suaram berkata kenyataan Sulizmie membelakangkan undang-undang yang memberikan kuasa dan hak untuk rakyat berhimpun secara aman.

Mereka juga mengingatkan menteri bahawa isu mengenai rasuah adalah isu yang mereka pernah perjuangkan sebelum mendapat kuasa.

"Lebih baik pihak berkuasa memastikan agar perhimpunan ini berlangsung dengan aman dan tertib daripada berterusan menggunakan undang-undang untuk menakutkan rakyat berhimpun.

"Kami juga ingin menyarankan para menteri yang berada di tampuk kuasa agar bersama nyatakan solidariti bersama himpunan ini.

“Rakyat berhak berhimpun secara aman walaupun kalian tidak suka. Apatah lagi isu ini adalah isu yang kalian perjuangkan selama ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS