Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) yang berminat menggunakan pemain naturalisasi perlu mematuhi syarat ditetapkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Beliau berkata kegagalan PSK berbuat demikian akan menyebabkan mereka tidak boleh menggunakan pemain import bagi memperkuatkan pasukan mereka.
“Persatuan kena faham dengan syarat dan permintaan yang ditetapkan KDN, dan kita akan membantu sebaik mungkin dalam aspek penyelarasan yang perlu.
“Bagaimanapun, keputusan akhir tetap tertakluk kepada KDN,” katanya kepada media pada Majlis Sambutan Tahun Baharu China 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN), di Kuala Lumpur hari ini.
Hannah berkata demikian semasa ditanya mengenai hasrat Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) mengambil tiga pemain naturalisasi termasuk seorang wanita bagi pasukan 3X3 dan 5X5, sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA Thailand pada hujung tahun ini.
Presidennya Datuk Seri Lee Tian Hock berkata tindakan itu ekoran banyak negara mengambil pemain naturalisasi, yang dilihat boleh menyukarkan pasukan negara bersaing kerana bola keranjang memerlukan ketinggian dan kekuatan fizikal.
Pada perkembangan lain, Hannah berkata beliau menerima baik keputusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Persatuan Badminton Malaysia (BAM), yang mengumumkan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap seorang pegawai kanan badan induk itu.
Menurutnya beliau gembira kerana tiada elemen jenayah didapati oleh pihak SPRM ketika melakukan siasatan ke atas badan induk badminton negara.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan mendapati tiada elemen jenayah ditemui berhubung dakwaan seorang pegawai kanan persatuan itu mengambil elaun tanpa kelulusan Ahli Majlis BAM.
Beliau berkata laporan lengkap berhubung siasatan akan dihantar kepada Menteri Belia dan Sukan kerana wujud beberapa perkara yang perlu ditangani.
- Bernama