Sekretariat perhimpunan antirasuah bertegas untuk meneruskan demonstrasi yang dijadualkan pada 25 Januari meskipun mendapat amaran daripada pihak polis.
“Demonstrasi ini akan tetap diteruskan. Kami menuntut pihak berkuasa menghormati hak rakyat, bukan mengkhianati mereka.
"Pihak polis sepatutnya memudahcara perhimpunan awam, bukan menyekatnya. Jangan menjadi seperti sang pegar, yang kita berharap kepadanya, namun dia juga lah yang memakan padi.
"Rakyat tidak akan tunduk kepada intimidasi dan gelombang kebangkitan ini akan terus menggugat kezaliman kuasa,” menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Tiada kebenaran pemilik lokasi
Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman, memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menghadiri perhimpunan antirasuah di Kuala Lumpur.
Dia mengakui menerima notis daripada penganjur perhimpunan tetapi menyatakan ia tidak lengkap kerana tiada kebenaran daripada pemilik atau penghuni lokasi.
“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang,” kata Sulizmie.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, turut menolak kebimbangan penganjur perhimpunan berkenaan arahan polis untuk mendapatkan kebenaran daripada pemilik lokasi perhimpunan.
Menteri itu mempersoalkan jika terdapat mana-mana tempat awam yang boleh dianggap sebagai tiada pemilik.
Katanya jika penganjur memahami keperluan tersebut, tidak akan ada perdebatan tentang kewujudan peruntukan tertentu.
Namun, pendirian kerajaan terhadap rancangan tunjuk perasaan itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk PSM dan NGO Bersih. Ahli Parlimen PKR Hassan Karim pula mengingatkan ramai pemimpin kerajaan hari ini pernah berdemonstrasi di jalanan.
Sekretariat perhimpunan menjelaskan mereka telah menyerahkan notis yang diperlukan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 15 Januari, selaras dengan Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012.
Namun, mereka terkejut apabila pada 17 Januari, polis meminta mereka mendapatkan kebenaran daripada pemilik lokasi yang dirancang sebagai tempat berkumpul, mendakwa ia merupakan keperluan di bawah Seksyen 11 akta yang sama.
Birokrasi angkuh
“Kami juga menghantar emel susulan pada 20 Januari untuk berbincang susulan notis yang diterima pada 17 Januari, tetapi tiada respons.
"Sikap diam pihak IPD Dang Wangi mencerminkan kelemahan institusi dan keangkuhan birokrasi.
"Kami tegaskan, kegagalan ini adalah liabiliti mereka, bukannya tanggungjawab penganjur,” tambah mereka.
Sekretariat itu juga mengecam kerajaan, dengan mengingatkan menteri dan pegawai mereka agar tidak menyalahgunakan undang-undang untuk kepentingan peribadi.
"Manipulasi terhadap undang-undang untuk menindas hak rakyat berhimpun adalah suatu pencabulan hak demokrasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya lagi.