Paling Popular
Terkini

Lebih 50 penternak dari ladang-ladang SD Guthrie Berhad berhimpun untuk menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari susulan notis pengusiran diterima mereka.

Mereka menuntut kerajaan negeri campur tangan untuk membatalkan notis pengusiran dikeluarkan SD Guthrie Berhad yang memaksa mereka mengeluarkan haiwan ternakan dari kawasan ladang syarikat itu.

Penyelaras Gabungan Penternak Marhaen Nasional S Tinagaran mendakwa notis pengusiran itu muncul selepas kenyataan Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor Rizam Ismail pada bulan lalu berhubung aktiviti penternakan lembu haram di ladang SD Guthrie, Sabak Bernam.

Katanya seramai 173 orang penternak telah menerima notis pengusiran ternakan mereka.

“Susulan kenyataan exco berkaitan isu melibatkan ladang di Sabak Bernam, syarikat SD Guthrie Berhad pula mengambil kesempatan mengeluarkan notis kepada semua penternak di Selangor.

“Penternak-penternak diberikan tempoh sebulan berakhir 31 Jan ini,” katanya kepada media ketika ditemui di hadapan pintu utama Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, kumpulan penternak juga menuntut supaya Rizam menarik balik kenyataannya.

Rizam pada 18 Disember lalu dilaporkan berkata SD Guthrie akan mengeluarkan notis rasmi kepada penternak lembu yang menduduki tanah syarikat itu secara tidak sah, untuk memindahkan haiwan ternakan dari ladang mereka di Sabak Bernam, selewat-lewatnya 31 Jan ini.

Malaysiakini telah menghubungi exco berkenaan dan pihak syarikat SD Guthrie Berhad untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu pengusiran penternak ini.

Dalam pada itu, protes pada jam 10.30 pagi tadi dimulakan dengan taklimat ringkas dan perarakan ke pintu utama bagi menyerahkan memorandum tuntutan mereka.

Himpunan pada jam 10.30 pagi itu dimulakan dengan taklimat ringkas dan perarakan ke pintu utama bagi menyerahkan memorandum tuntutan mereka.

Seorang penternak S Uraraja, 48, berkata dia sekeluarga bimbang selepas menerima notis berkenaan.

Katanya, dia memiliki lebih 20 ekor lembu ternakan yang diibaratkan sebagai ‘bank’.

“Ternakan-ternakan ini adalah bank yang saya boleh gunakan apabila memerlukan. Apabila anak mahu sambung belajar, atau berkahwin dan ada kecemasan lembu-lembu ini saya boleh jual untuk menampung perbelanjaan.

“Aktiviti menternak ini sejak datuk saya lagi, sudah tiga generasi. Jadi saya minta tidak diusir begini, berilah penyelesaian lebih baik kepada rakyat seperti kami,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambahnya, susulan notis itu dia rasa tertekan apabila ada peniaga daging datang menawarkan pembelian lembu dengan harga sangat rendah.

Sementara itu Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan bersama 11 wakil penternak dibenarkan masuk dan berjaya menyerahkan memorandum kepada pegawai khas Menteri Besar Selangor.

Menurutnya, pihak menteri besar berjanji untuk mengadakan satu mesyuarat bersama exco-exco negeri, Gabungan Penternak Marhaen Nasional, wakil-wakil penternak dan pihak SD Guhtrie Berhad.

“Jadi SD Guhtrie tidak boleh menggunakan isu di Sabak Bernam untuk usir penternak-penternak lain.

“Apa yang berlaku di peringkat negeri Selangor nampaknya bercanggah dengan peringkat pentadbiran pusat yang membenarkan haiwan ternakan hidup di ladang kelapa sawit.

“Tetapi penternak perlu bertanggungjawab memastikan haiwan tidak berkeliaran hingga menyebabkan perkara yang tidak diingini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS