Bekas pemimpin Bersih, Mandeep Singh, menegaskan bahawa hak untuk berhimpun dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"Hak untuk berhimpun adalah hak asasi setiap warganegara," katanya di X (dulu dikenali sebagai Twitter).
Merujuk kepada kelahiran gerakan reformasi yang menyokong Anwar Ibrahim, Mandeep berkata sejak tahun 1998, Sogo telah menjadi tempat untuk orang awam berkumpul dan berhimpun.
"Saya telah menghadiri ratusan perhimpunan, saya telah memimpin banyak daripadanya, namun tiada satu pun yang pernah diberikan kebenaran," tambahnya.
Mandeep, yang kini adalah pembantu kepada Menteri Komunikasi Digital Gobind Singh Deo, pernah ditangkap beberapa kali sebelum ini.
Pada tahun 2016, dia ditangkap bersama pengerusi Bersih ketika itu, Maria Chin Abdullah, sebelum perhimpunan Bersih 5.
Mandeep memberikan respons terhadap pendirian kerajaan Madani mengenai perhimpunan jalanan, yang menurut pengkritik bercanggah dengan pendirian Anwar dan Pakatan Harapan sebelum ini mengenai kebebasan tersebut.
Pagi ini, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil menekankan bahawa keperluan bagi penganjur perhimpunan untuk mendapatkan kebenaran daripada pemilik premis telah dinyatakan dengan jelas di bawah undang-undang.
Dia menggesa semua rakyat negara ini, tanpa mengira kecenderungan politik mereka, untuk menghormati dan mematuhi peraturan tersebut.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan arahan polis yang memerlukan penganjur perhimpunan mendapatkan kebenaran daripada pemilik premis, seperti yang dinyatakan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012.
Kenyataan tersebut menyusul selepas penganjur perhimpunan anti-rasuah pada 25 Januari ini melahirkan rasa terkejut mereka terhadap arahan polis itu.
Perhimpunan tersebut dijadualkan bermula di luar pusat membeli-belah Sogo di Kuala Lumpur sebelum berarak ke Dataran Merdeka.
Semalam,Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan, yang juga seorang veteran perhimpunan jalanan, mempersoalkan sama ada Anwar dan pemimpin Harapan pernah mendapatkan kebenaran untuk perhimpunan mereka sebelum ini.