Menteri Perpaduan Aaron Ago Dagang mengingatkan supaya tiada pihak mengeruhkan keadaan dan membuat provokasi dalam isu penjualan sandwic ‘ham’ yang logo halalnya dipertikai.
Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas KK Mart cawangan Universiti Malaya, Kuala Lumpur disimbah cat.
“Saya ingin menegaskan bahawa tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat keharmonian negara yang kita bina bersama selama ini,” katanya.
Aaron mengingatkan bahawa kes itu telah berada dalam siasatan polis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN).
Menurut polis, perbuatan khianat itu berlaku hampir pukul satu pagi semalam.
Kes disiasat bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan khianat yang menyebabkan kerugian.
Dalam kenyataan hari ini, Aaron berkata kerajaan melaksanakan pelbagai usaha untuk memperkukuh perihal pengurusan perpaduan dan keharmonian.
“Saya juga ingin menekankan bahawa perpaduan bukanlah tugas eksklusif kerajaan semata-mata, tetapi tanggungjawab setiap rakyat Malaysia,” katanya.
Sementara itu, UM pula dalam kenyataan hari ini berkata akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan.
UM juga menyeru mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan insiden itu untuk tampil bagi membantu siasatan.
“UM juga menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan perkara seperti ini tidak berulang,” kata universiti itu.
Kontroversi mengenai jualan sandwic itu bermula pada 13 Jan lalu apabila Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh mengecam kedai itu yang diraguinya mempunyai sijil halal.
Pembekalnya berkata ramuan digunakan mempunyai sjil halal daripada Jakim dan Austria.
Bagaimanapun Jakim berkata penggunaan sijil halal pembekal tidak melayakkan sesuatu produk diperakui halal.
Katanya, untuk sesuatu produk akhir diperakui halal, ia haruslah memenuhi piawaian dan prosedur pensijilan halal Malaysia merangkumi aspek pengendalian, penyediaan, dan pemprosesan secara keseluruhan.
Ini bukan kali pertama KK Mart terpalit dengan kontroversi yang menyebabkan kedainya menjadi sasaran serangan.
Pada Mac tahun lalu, kedai KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor Perak dibaling bom petrol susulan penjualan stoking tertera kalimah 'Allah', di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.