Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menggunakan kiasan pemanduan kereta untuk menggambarkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan, dengan menekankan kepentingan pentadbiran yang stabil berbanding tindakan tergesa-gesa yang berisiko menggagalkan kemajuan.
Merenung kembali penggal pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, Nga menekankan pengajaran yang diperoleh daripada kegagalan politik terdahulu.
“Kita telah melalui ‘tiga kali naik dan tiga kali jatuh’ dalam politik. Jika kita tidak belajar daripada pengalaman ini, itu satu kebodohan,” katanya seperti dipetik wawancara bersama Oriental Daily News.
Kerajaan mesti stabil, bukannya ‘gopoh memandu laju’ dan terbabas seperti yang dialami dua kali sebelum ini, kata naib pengerusi DAP itu.
Belajar dari kegagalan
Nga mengenang kegagalan pertama PH di Perak pada tahun 2008, apabila gabungan itu menang kuasa tetapi tumbang selepas hanya 11 bulan mentadbir.
“Pada masa itu, DAP sangat kuat di Perak, memegang 18 kerusi, tetapi ini menyebabkan komuniti Melayu merasa tidak selamat.
“Kami terlalu bersemangat untuk memberikan yang terbaik, seperti memandu kereta yang direka untuk 120 km/j pada kelajuan 180 km/j. Akibatnya, kami terbabas hanya dalam masa 11 bulan,” katanya lagi.
Kegagalan kedua berlaku selepas PH memenangi kerajaan persekutuan pada 2018 di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad.
Walaupun berjaya menggulingkan kerajaan BN yang telah lama memerintah, pentadbiran itu runtuh selepas 22 bulan akibat Langkah Sheraton.
“Pada masa itu, kami juga terlalu bersemangat untuk memberikan yang terbaik.
“Sama ada saya sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat atau Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan.
"Jelas kereta itu hanya direka untuk kelajuan 120 km/j, tetapi kami memandunya pada 180 km/j.
“Apa yang berlaku? Kami ‘terbabas’ lagi selepas 22 bulan. Kali pertama bertahan 11 bulan, kali kedua 22 bulan, dan kini ini kali ketiga kami dalam kerajaan.”
“Jika selepas tiga penggal ini kita masih belum belajar menjadi lebih bijak maka kita benar-benar tidak cukup pintar,” jelasnya.
Kini, dalam penggal ketiga PH sebagai kerajaan, Nga menekankan pentingnya belajar dari pengalaman masa lalu untuk memastikan Kerajaan Perpaduan dapat melengkapkan tempoh lima tahun penggal pentadbirannya.
Kerjasama dengan Umno
Dalam wawancara itu, Nga turut membincangkan kerjasama semasa antara PH dan Umno, yang digambarkan sebagai bukti rasa syukur dan kematangan.
Dia mengakui perbezaan pendapat tidak dapat dielakkan tetapi menekankan pentingnya memberi tumpuan kepada matlamat bersama.
Nga berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkongsi hubungan 'mentor-menti' dan persahabatan selama 50 tahun, sejak zaman mahasiswa mereka pada tahun 1970an.
Dia turut memuji menteri-menteri Umno atas pengalaman dan pragmatisme mereka, sambil menyatakan mereka mengelak daripada mendesak dasar-dasar ekstrem dan bekerja ke arah perpaduan.
“Dalam kerajaan gabungan, mencari titik persamaan sambil menghormati perbezaan itu kunci kepada kewujudan bersama dan kemakmuran,” tambahnya.
Persediaan PRU akan datang
Menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang, Nga mengakui PH mungkin perlu bekerjasama dengan sekutu untuk membentuk kerajaan.
“Kecuali Anwar dapat membawa kita kepada kemenangan majoriti mutlak, kita masih memerlukan sokongan parti sekutu. Itulah realiti politik,” kata Nga.
Sementara itu, Nga sempat berseloroh mengenai perjalanan politiknya:
“Jika PH menang 84 kerusi dan BN memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional, maka perjalanan politik saya akan menjadi ‘tiga kali naik dan empat kali jatuh.’”