Tindakan pihak berkuasa menghalang atau menyekat perhimpunan anti-rasuah di Kuala Lumpur pada Sabtu ini akan mencemarkan imej kerajaan, kata seorang Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim.
Dia yang juga peguam mengingatkan kerajaan pimpinan PH terutamanya PKR, lahir daripada gerakan bantahan di jalanan dan perhimpunan aman.
“Jangan lupa sejarah PH terutama PKR itu sendiri.
“Jangan lupa diri,” kata wakil rakyat PKR itu pada satu kenyataan.
Secara berasingan, Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek pula menuduh PH bersikap hipokrit dengan mengenakan halangan kepada penganjur perhimpunan.
“Taktik mengenakan syarat yang tidak sah dan tidak perlu ini taktik yang pernah kita lihat di bawah kerajaan BN dahulu; dan amat menjijikkan apabila ia diteruskan di bawah kerajaan perpaduan yang diketuai PH.
“Semasa Bersih 4, pemimpin PH mengecam permintaan yang sama oleh polis untuk mendapatkan kebenaran memasuki Dataran Merdeka.
“Jadi, ini hipokrasi yang jelas apabila (Menteri Dalam Negeri) Saifuddin Nasution Ismail dan kerajaan Madani kini bertegas supaya kita mendapatkan kebenaran untuk berarak ke Dataran Merdeka,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
LFL bertindak sebagai penasihat undang-undang kepada Sekretariat Rakyat Benci Rasuah, yang menganjurkan perhimpunan Sabtu ini.
Kritikan ini merujuk kepada syarat polis supaya penganjur mendapatkan kebenaran daripada pemilik premis untuk perarakan tersebut, yang dijadualkan bermula di luar pusat membeli-belah Sogo dan berakhir di Dataran Merdeka.
Saifuddin semalam menyokong permintaan polis itu, berkata lokasi tersebut bukan kawasan awam dan mempunyai pemilik – iaitu Sogo dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) – yang perlu memberikan kebenaran mengikut Akta Perhimpunan Aman (PAA).
Penganjur perhimpunan itu mengkritik kerajaan dan pembangkang atas cara mereka menangani kes rasuah.
Mereka juga menyatakan perhimpunan itu tindak balas kepada seruan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar golongan muda menolak rasuah.
Saifuddin, Anwar dan ramai pemimpin PH lain pernah berdemonstrasi di Dataran Merdeka yang dianggap melanggar PAA, termasuk perhimpunan anti-GST pada 1 Mei 2014.
Zaid menegaskan Dataran Merdeka dan jalan di hadapan Sogo memenuhi definisi kawasan awam dalam akta tersebut.
Dia turut mengecam polis kerana tidak bekerjasama dan enggan memberi maklum balas terhadap permintaan penganjur untuk mengadakan pertemuan membincangkan perhimpunan tersebut.
Zaid (gambar atas) juga mengkritik polis kerana memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu.
“Polis tidak mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan sesuatu perhimpunan sebagai haram; Akta Perhimpunan Aman 2012 hanya memerlukan notis diberikan dan tanggungjawab ini hanya terletak pada penganjur.
“Walaupun terdapat ketidakpatuhan terhadap notis tersebut, ia tidak menjejaskan hak sesiapa untuk berhimpun secara aman,” katanya.
Sementara itu, Hassan berkata kerajaan dan pihak berkuasa perlu memudahkan protes aman serta menghormati hak rakyat yang dijamin perlembagaan.
“Apa bahayanya perhimpunan anak-anak muda dan anggota masyarakat yang ingin menyatakan fikiran mereka benci kepada rasuah?
"Tidakkah kerajaan perpaduan dan kerajaan Madani ini menjadikan tema benci kepada rasuah adalah perjuangan nombor satu,” katanya.