Universiti Malaya (UM) menjelaskan isu yang timbul semasa acara sambutan Tahun Baru Cina yang dinamakan Spring Festival Gala 2025 dan berlangsung di kampus universiti itu.
Pada satu kenyataan, UM memaklumkan acara tersebut anjuran Kedutaan Besar Negara China bersama beberapa persatuan pelajar warganegara China dan bukan majlis rasmi di bawah penganjuran universiti.
"(Kampus) universiti hanya menjadi lokasi sambutan acara diadakan.
"Lanjutan daripada perkara ini, apabila pihak penganjur merancang untuk memainkan lagu kebangsaan negara berkenaan, Universiti Malaya telah meminta penganjur untuk turut memainkan lagu Negaraku sepertimana yang diperuntukkan dalam Akta Lagu Kebangsaan 1968," jelas UM mengulas kritikan di media sosial mengenai isu tersebut.
Sebagai universiti awam tertua di negara ini, UM menegaskan pentadbirannya sentiasa menjunjung kedaulatan negara dengan memastikan nilai patriotik diterapkan dalam setiap aktiviti yang dijalankan.
"Dalam masa yang sama, Universiti Malaya turut menyambut dasar pengantarabangsaan yang disarankan oleh kerajaan dengan menyantuni dan meraikan pelajar," kata UM lagi.
Sebelum ini, isu pengibaran bendera China dalam acara kebudayaan menjadi kontroversi.
Ini termasuklah festival Guan Gong Sedunia apabila pihak penganjur tampil memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China pada suatu acara perarakan di Teluk Intan, Oktober tahun lalu.
Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua menjelaskan perbuatan itu dilakukan oleh rombongan dari negara Tembok Besar itu dan bukan penduduk Malaysia.
Kejadian itu juga mendapat perhatian Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria yang mengaitkan dengan DAP, selain mendakwa pengibaran bendera China itu tindakan provokasi yang boleh menjejaskan kedaulatan dan keharmonian Malaysia.
Pada 19 Jan lalu pula, polis memaklumkan menyiasat video dan gambar yang tular di media sosial mengenai replika naga yang dihiasi dengan bendera negara China dalam satu program perarakan di sekitar daerah Muar
Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata perarakan tersebut diadakan sempena program seni dan kebudayaan bersempena ulang tahun ke-20 gabungan Persatuan Tiong Hua daerah Muar.
“Pemantauan polis semasa perarakan berlangsung mendapati replika naga itu dihiasi dengan Jalur Gemilang di bahagian badan sebelah kanan, manakala di sebelah kiri dihiasi dengan bendera China," katanya.
Raiz berkata kes disiasat mengikut Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan, Seksyen 6(2) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.