Paling Popular
Terkini

Satu laporan yang diterbitkan baru-baru ini menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan penyiar nasional, Radio Televisyen Malaysia (RTM) diberi kebebasan daripada pengaruh kerajaan.

Menurut laporan "Media Law Reform Blueprint", MCMC melanggar piawaian antarabangsa kerana berada di bawah kawalan menteri komunikasi.

Laporan itu menegaskan menteri mempunyai kuasa untuk melantik pengerusi MCMC, semua aanggota suruhanjaya, tiga wakil kerajaan, serta dua hingga lima anggota lain.

Menurut laporan itu, walaupun tempoh perkhidmatan setiap anggota suruhanjaya adalah selama dua tahun, mereka boleh dilantik semula sehingga lima penggal.

"Ini bertentangan dengan susunan yang lebih stabil dan demokratik (contohnya, dua penggal), malah seolah-olah dibuat beigut untuk memastikan anggota tidak menentang pihak yang melantik mereka (iaitu menteri)," tambahnya.

Bagaimanapun, laporan itu turut menyatakan bahawa MCMC bukan pihak yang mengawal pemberian lesen platform di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998.

"MCMC hanya membuat cadangan kepada menteri mengenai lesen individu, walaupun menteri perlu mengambil kira cadangan tersebut sebelum membuat keputusan (rujuk Seksyen 29 dan 30)," katanya.

Sehubungan itu, laporan tersebut mencadangkan pindaan terhadap Akta MCMC supaya suruhanjaya itu dapat berfungsi secara bebas.

CMA juga perlu dipinda bagi memastikan kuasa kawal selia utama diletakkan di bawah bidang kuasa MCMC, tambah laporan itu.

Selain itu, laporan itu menegaskan bahawa penyiar awam perlu bebas daripada pengaruh kerajaan.

Ia merujuk kepada Perenggan 16 dalam Komen Umum No. 34 oleh Jawatankuasa Hak Asasi Manusia PBB, yang menyatakan bahawa negara mesti menjamin kebebasan serta autonomi editorial perkhidmatan penyiaran awam.

Laporan itu turut memetik keputusan Mahkamah Agung Ghana, yang menyatakan bahawa media milik negara adalah hak milik seluruh masyarakat, bukan sekadar alat kerajaan.

"Jika aset nasional seperti ini menjadi alat propaganda mana-mana parti politik yang berebut kuasa, maka demokrasi tidak lebih daripada satu sandiwara," kata mahkamah tersebut.

Sama seperti MCMC, laporan itu mencadangkan agar RTM mempunyai undang-undang khas sendiri serta dikendalikan oleh sebuah lembaga pengelola bebas.

Antara cadangan lain dalam laporan itu termasuk pindaan terhadap Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan supaya ia selari dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa.

Perkara 10 menjamin hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia, tetapi laporan itu menegaskan bahawa ia hanya merujuk kepada aspek ekspresi tanpa menyentuh hak untuk mendapatkan dan menerima maklumat serta idea.

Hak perlembagaan ini juga perlu memperincikan sekatan berdasarkan ujian keperluan, katanya.

Selain itu, laporan itu menggesa kerajaan memansuhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA).

Sekiranya ia tidak dimansuhkan, sekurang-kurangnya kerajaan perlu memastikan kuasa kawal selia dikendalikan oleh badan bebas, bukan menteri dalam negeri, tambah laporan itu.

Akhir sekali, laporan itu mengulas mengenai Rang Undang-Undang Majlis Media, dengan menyatakan bahawa sistem aduan terhadap pengamal media tidak sepatutnya dikendalikan oleh majlis tersebut.

Sebaliknya, aduan perlu dikendalikan oleh badan khas, dan ia harus ditujukan kepada syarikat berita, bukan wartawan.

Sistem ini juga perlu menjadi langkah pertama dalam menyelesaikan pertikaian sebelum dibawa ke mahkamah. Jika pengadu masih tidak berpuas hati, barulah tindakan mahkamah boleh menyusul.

Laporan ini diterbitkan oleh Centre for Law and Democracy, sebuah NGO dari Kanada dan dilancarkan semalam.

Ia mengandungi kajian dokumen serta sesi perbincangan bersama pihak berkepentingan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS