Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'MRT3 akan hapuskan kampung kami dari peta Kuala Lumpur'

Penduduk Kampung Masjid Segambut Dalam, Kuala Lumpur, menyatakan bantahan terhadap penglibatan tanah di kampung mereka dengan perancangan projek kereta api MRT3.

Mereka mendakwa lebih 150 rumah kediaman penduduk di situ akan terjejas dan tanah mereka bakal diambil untuk pembinaan stesen S04 Bukit Segambut.

Wakil penduduk, Aman Najas Mohd Samin berkata, jika perancangan itu diteruskan ia sekali gus bakal menghapuskan Kampung Masjid Segambut Dalam dari peta Kuala Lumpur.

Dakwanya, sebanyak tujuh lot tanah akan terjejas sekali gus membabitkan hampir keseluruhan kampung berkenaan.

"Penduduk dan pemilik-pemilik tanah telah lama bermastautin dan bergenerasi tinggal di Kampung Masjid Segambut Dalam.

"Rancangan Projek MRT3 ini melibatkan proses pengambilan tanah berskala besar yang menjejaskan pemilikan ke atas tanah dan kebajikan ramai penduduk dan pemilik tanah.

Aman Najas Mohd Samin

"Penduduk dan pemilik tanah juga tidak menikmati manfaat penggunaan perkhidmatan MRT kerana akan kehilangan tanah yang diambil bagi menjayakan projek ini dan terpaksa keluar dari kediaman dan tanah mereka.

"Selain itu, pengambilan tanah-tanah tersebut bakal melenyapkan perkampungan dan pemilikan orang-orang melayu di Kampung Masjid Segambut Dalam," katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini.

Projek MRT3 adalah komponen utama dalam projek rangkaian transit bersepadu Lembah Klang (KVMRT) untuk meningkatkan mobiliti bandar di seluruh Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

Jajaran MRT3

Mengelilingi perimeter bandar sepanjang 51 kilometer, jajaran MRT3 menghubungkan rangkaian rel MRT, LRT, KTM dan Monorel yang sedia ada melalui 10 stesen pertukaran yang strategik.

Hantar surat bantahan

Sementara itu, Aman Najas berkata pihaknya telah mengemukakan surat bantahan kepada Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) pada Nov lalu, namun tiada sebarang respon diberikan setakat ini.

"Kami sebulat suara ingin menegaskan bahawa rancangan projek MRT3 di Kampung Masjid Segambut Dalam tersebut seharusnya tidak diteruskan dan dibatalkan.

"Kami amat berharap rancangan jajaran laluan MRT itu ditukar dan dialihkan ke tempat lain," katanya.

Kawasan yang dikatakan terlibat

Tambahnya lagi, pengambilan tanah yang dicadangkan seluas 24 ekar untuk pembinaan stesen MRT bawah tanah dan penggalian terowong membabitkan penggunaan tanah berskala besar.

"Tanah yang bakal diambil untuk tujuan pembinaan tidak akan dipulangkan kepada pemilik asal.

"Penduduk berasa rugi dan sedih kerana kepentingan mereka dikorbankan untuk keselesaan orang lain," kata Aman Najas.

Kami akan pertimbang - MRT Corp 

Dalam perkembangan itu MRT Corp menjelaskan pihaknya telah melaksanakan pemeriksaan awam skim kereta api laluan lingkaran dari 2 Sept hingga 2 Dis tahun lalu.

Dalam maklum balas kepada Malaysiakini, MRT Corp juga mengadakan beberapa sesi libat urus dengan penduduk Kampung Masjid Segambut Dalam, termasuk pertemuan bersama wakil penduduk, sesi taklimat komuniti, bengkel dan dialog bersama pemimpin komuniti.

Selain itu trak informasi MRT juga ditempatkan sepanjang tempoh pemeriksaan awam itu.

“Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai maklum balas daripada penduduk setempat dan pihak berkepentingan telah dikumpulkan.

“Maklum balas yang diterima akan dipertimbangkan dalam penyediaan laporan akhir skim kereta api bagi memastikan semua pandangan dan cadangan yang diterima diberi perhatian sewajarnya. 

“MRT Corp sentiasa komited dalam memastikan sebarang keputusan yang diambil mengambil kira kesejahteraan rakyat serta impak sosial, ekonomi dan alam sekitar. 

“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan pandangan dan maklum balas sepanjang tempoh pemeriksaan awam,” kata syarikat milik Kementerian Kewangan diperbadankan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS