“Bos, minta maaf bos, lewat sikit datang kerja ni, sebab dia marah. Bos, tak boleh lalu ni.”
Pemandu pelancong Taman Negara, Aimie Asrol lambat ke tempat kerja dan terpaksa memberi penjelasan kepada majikannya.
"Dia" yang dirujuk Aimie seekor gajah betina yang sedang berjalan perlahan di tengah jalan raya bersama anaknya. Aimie dan rakannya memandu mengekori gajah berkenaan untuk beberapa waktu, tetapi tidak menemui peluang memotong pasangan ibu dan anak itu.
Tidak lama kemudian, Aimie memutuskan untuk keluar dari kereta, merakam video haiwan yang menghalang jalan itu dan menghantar mesej kepada majikannya sebagai bukti.
Namun, ketikan jemarinya menulis pesanan terhenti apabila gajah itu meraung dan mengejarnya. Dia hanya berada pada jarak sekitar 200 meter.
Aimie lari menyelamatkan diri dan menjauhkan jarak dari gajah tersebut. Dia memerhatikan gajah itu pergi sebelum memecut kereta meninggalkan tempat kejadian. Apa yang sempat dirakam dalam videonya agak mengganggu.
Sebaik sahaja gajah betina itu menyedari kehadiran keretanya, haiwan yang sudah menjauh itu kembali berlari ke arah Aimie.
Video itu dimuat naik ke TikTok oleh Aimie, mencetuskan perbincangan di kalangan penduduk kampung.
Tiada siapa pernah menyaksikan gajah yang marah mengejar manusia sebelum ini. Akaun TikTok Aimie mula mendapat pengikut selepas video itu dimuat naik
Rakan-rakannya sering meniru gaya Aimie berkata "bos, minta maaf bos, lewat sikit datang kerja ni." Hal ini membuatkan Aimie agak teruja.
Gajah dan pantang-larang hutan
Penduduk kampung membawa saya bertemu Aimie. Dia bekerja di sebuah resort di Kuala Tahan, di daerah Jerantut.
Seperti seorang anak kecil yang nakal, lelaki berusia 40 tahun ini sentiasa tersenyum. Memerhati gajah aktiviti kegemarannya, terutama semasa perjalanan harian selama sejam dari Kuala Sat ke Taman Negara Kuala Tahan.
Sepanjang tahun, walaupun pemandangan di tepi jalan raya itu sudah banyak berubah namun semakin banyak gajah yang muncul.
Pun begitu, ibu dan majikan Aimie tidak terhibur dengan videonya. Mereka bimbang suatu hari nanti dia akan menghadapi masalah.
Kebimbangan mereka bukan tanpa sebab. Menurut Pelan Tindakan Pemuliharaan Gajah Kebangsaan (NECAP) 2023-2030 oleh Jabatan Perhilitan, antara tahun 2015 hingga 2021, terdapat 22 kes pertembungan dengan gajah liar yang mengakibatkan 13 kecederaan dan sembilan kematian.
Semua kes ini berlaku atas sebab yang sama, semua mangsa tidak menjaga jarak dengan gajah.
Apabila gajah mengejar mereka, mangsa tidak sempat melarikan diri. Seperti Aimie, mereka sibuk mengambil gambar atau video dan akhirnya diserang kerana berada terlalu dekat.
Penduduk kampung lain juga tidak menganggap tindakan Aimie sebagai sesuatu yang menghiburkan.
Gajah haiwan yang ditanggapi dengan hormat dan pantang-larang. Ketika berbual bersama penduduk kampung di kedai kopi, mereka menceritakan kisah rakyat dan mitos tentang gajah liar.
Penduduk kampung memberi amaran kepada saya agar tidak mencari gajah kerana ia akan memprovokasi haiwan itu dan mengundang masalah.
Seorang warga emas dari meja sebelah menyampuk: "Itulah kebijaksanaan orang kampung, jangan cakap besar. Ada yang kata dia tak takut gajah, kononnya berani tarik telinga gajah kalau jumpa. Tapi esoknya dia jumpa gajah dan lari lintang-pukang ketakutan."
Kisah-kisah penduduk kampung menambahkan misteri kepada gajah liar ini. Bahkan pegawai kerajaan dan saintis turut bingung dengan kejadian-kejadian yang tidak dapat dijelaskan itu.
Seorang pegawai Perhilitan memberitahu saya, gajah liar sangat sensitif, menyimpan dendam, memahami tingkah laku manusia dan membalas dendam kepada manusia.
Seorang pemilik kebun pernah cuba meracuni gajah liar, yang menyebabkan tanahnya dipijak habis-habisan. Namun, kebun-kebun di sekitarnya dibiarkan tidak terusik.
Hutan rahsia alam
Saya bertemu dengan seorang penyelidik yang mengingatkan saya kepada watak ahli fizik Sheldon Cooper daripada siri televisyen CBS The Big Bang Theory.
Saya menyangka, dengan keutamaan kepada bukti empirikal dan pemikiran yang berhati-hati, dia pasti akan menolak mitos gajah liar yang berdendam.
Namun, mengejutkan si ‘Sheldon Cooper’ Malaysia ini menegaskan walaupun dia tidak mempercayai tahyul, dia tidak akan semudahnya meragui sebarang mitos mengenai gajah.
Penduduk kampung melihat hutan menyimpan kekuatan alam yang misteri, yang sukar difahami oleh manusia. Oleh itu, mereka mendekati hutan dengan penuh hormat dan pantang-larang.
Sebagai contoh, untuk mengelak daripada menyebut perkataan ‘gajah’, mereka merujuknya sebagai 'datuk', ‘orang besar’ atau ‘orang kuat’. Dengan cara ini, dikatakan gajah tidak mengetahui namanya sedang disebut.
Kisah-kisah rakyat seperti ini tampaknya melindungi penduduk kampung daripada mudarat. Apabila berhadapan dengan tingkah laku haiwan liar yang tidak dapat diramal, kisah-kisah ini menjadi peringatan agar berhati-hati.
Cuaca panas musim gajah
Gajah liar sering menjadi punca masalah bekalan air di kampung-kampung sekitar Mukim Hulu Tembeling. Kampung Pagi dan Kuala Sat tidak mempunyai bekalan air paip.
Sebaliknya, punca air diambil dari sungai di bukit beberapa kilometer jauhnya, disalurkan melalui paip PE hitam menggunakan perbezaan tekanan dari kawasan tinggi ke tangki simpanan air di rumah.
“Ini musim gajah,” kata seorang penduduk kampung, Amirul Naim (gambar bawah), merujuk kepada bulan Mei dan Jun setiap tahun ketika cuaca paling panas dan paip air paling kerap rosak.
Amirul percaya gajah-gajah itu mungkin menyukai rasa dingin air yang memercik pada badan mereka, jadi mereka terus menarik keluar paip.
Masalah ini memberi tekanan kepada ibunya, yang berdepan kesukaran untuk membuat kerja-kerja di rumah. Air tidak mencukupi untuk kegunaan dapur, jadi mereka menyimpan air di dalam tong dan baldi setiap hari sebagai persediaan.
Pada saat itu, Amirul mula menyedari perubahan alam sekitar dan masalah pembalakan di kampung halamannya. Dia menuding projek perladangan mega berdekatan yang menjadi penyumbang utama masalah ini.
Projek tersebut gagal kerana tidak mempertimbangkan kesan membuka perladangan besar-besaran di kawasan yang menjadi habitat gajah liar. Tumbuhan di ladang-ladang itu menjadi sumber makanan gajah sebaik sahaja habitat asal mereka hilang. Akibatnya, kedua-dua projek tidak mencapai hasil ekonomi yang dijangkakan dan hanya memperburuk konflik antara manusia dan gajah.
Gajah dan perubahan alam sekitar
Kejadian bertembung dengan gajah liar dahulunya jarang berlaku walaupun kampung terletak berhampiran hutan.
Namun, dekad kebelakangan ini menyaksikan peningkatan mendadak dalam kejadian manusia terserempak gajah.
Gajah kini telah mengalami perubahan tingkah laku untuk menyesuaikan diri dengan aktiviti manusia dan persekitaran mereka.
Sebagai contoh, bunyi kereta dan enjin, cahaya lampu hadapan, atau bahkan bau petrol yang dahulunya menakutkan gajah liar kini tidak lagi memberi kesan.
Gajah-gajah ini kini duduk di tepi jalan tanpa peduli dengan kenderaan yang lalu lalang. Penduduk kampung turut menyedari perubahan dalam diet gajah.
Gajah tidak lagi gemar memakan rumput Napier, pisang hutan, rotan atau buluh yang tumbuh di hutan.
Sebaliknya, mereka menjadi pemilih dan hanya makan pisang, umbut kelapa dan tebu yang ditanam manusia.
Pemusnahan hutan dan keperluan mineral
Penebangan hutan memusnahkan kawasan jenut garam semula jadi (salt licks).
Apabila gajah kehilangan sumber mineral dari persekitaran asal mereka, mereka mula mengunjungi kampung dan menggeledah rumah penduduk untuk mencari garam. Kadangkala, gajah memakan sabun kerana garam merupakan bahan utama dalam pembuatan sabun.
Berlawanan dengan kepercayaan umum, penebangan hutan sebenarnya memudahkan gajah mencari makanan.
Hutan dara yang tebal sukar untuk diterokai gajah kerana cahaya matahari hampir tidak dapat menembusi kanopi hutan yang tebal, menjadikan lantai hutan hampir kosong tanpa tumbuhan.
Sebaliknya, gajah lebih gemar mengunjungi hutan sekunder (hutan yang tumbuh semula selepas kemusnahan besar-besaran akibat manusia atau semula jadi), pinggir hutan atau tebing sungai.
Kehadiran belukar yang rendah membolehkan gajah memakan tumbuhan dengan belalai mereka dengan mudah.
Sepanjang sejarah di Semenanjung Malaysia, hubungan manusia dan gajah tidak selalu dipenuhi ketegangan dan konflik.
Menurut pakar pemuliharaan alam sekitar, Lim Teck Wyn (gambar bawah) masyarakat Orang Asli dan penduduk kampung Melayu di Semenanjung Malaysia dahulunya mengamalkan teknik pertanian tebas dan bakar.
Tanah akan dibersihkan dan tumbuhan dikeringkan sebelum dibakar untuk menghasilkan tanah subur. Selepas beberapa tahun bercucuk tanam dan tanah tidak lagi kaya dengan nutrien, mereka akan berpindah ke kawasan hutan baru.
Lim menjelaskan terdapat hubungan tersirat antara Orang Asli dan gajah liar. Apabila kanopi tebal dibuka dan pucuk baru tumbuh di lantai hutan, gajah akan datang untuk mencari makanan.
Ketika badan besar mereka bergerak melalui kawasan itu, seperti jentolak yang beroperasi, mereka mencipta laluan baru untuk manusia dan haiwan lain bergerak di dalam hutan.
Konflik bermula apabila amalan pertanian beralih kepada penanaman secara meluas, menyebabkan ladang besar dibangunkan di Semenanjung Malaysia.
Pada tahun 1960-an, ladang kelapa sawit hanya meliputi 500 kilometer persegi tanah. Dalam tempoh 27 tahun, kawasan ini meningkat tiga kali ganda, menceroboh habitat gajah.
Pada 19 Oktober 2023, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan di parlimen bahawa pembangunan kawasan pertanian merupakan aktiviti manusia utama yang memberi kesan besar kepada habitat gajah, yang menyebabkan konflik manusia-gajah.
Selain itu, aktiviti seperti pembalakan, perlombongan, pembinaan jalan dan empangan turut memburukkan keadaan.
Gajah liar mencari makanan di hutan pamah. Mereka menjelajah jauh, meliputi kawasan seluas 324 kilometer persegi setiap hari. Mereka juga makan banyak, menghabiskan 19 jam sehari untuk meragut sekitar 150 kilogram tumbuh-tumbuhan.
Ladang gagal
Namun, hutan pamah kawasan yang paling padat dengan aktiviti manusia. Kerajaan negeri atau pihak industri sering merancang untuk membuka ladang atau membina jalan, menjadikan persaingan kegunaan tanah antara manusia dan gajah semakin sengit.
Walaupun kampung mereka berdekatan dengan hutan, penduduk kampung memberitahu saya bahawa mereka jarang bertemu gajah liar ketika mereka masih kecil.
Tetapi dalam sepuluh tahun kebelakangan ini, pertembungan seperti itu menjadi lebih kerap.
Perubahan berlaku apabila gajah-gajah ini semakin terbiasa dengan cahaya, bunyi dan bau yang dihasilkan oleh aktiviti manusia. Mereka tidak lagi takut kepada manusia dan kini lebih sukar untuk berurusan dengan mereka.
Penduduk kampung dan gajah liar, yang terperangkap dalam kekacauan akibat perubahan alam sekitar, mendapati diri mereka dalam hubungan tegang dan berseteru.
'Sebutir peluru setiap gajah'
Ketika kedua-duanya menyesuaikan diri untuk terus hidup, permusuhan menebal, mendorong mereka untuk saling berjauhan.
Gajah liar, seperti yang digambarkan oleh penduduk kampung merupakan makhluk yang bijak, sensitif dan pandai berdendam; tetapi mereka juga boleh bertindak melulu, nakal dan canggung.
Abdullah Salleh (gambar bawah) tinggal di Kampung Pagi, salah sebuah dari enam kampung di Muhkim Hulu Tembeling. Dia memberitahu saya gajah suka tebu, kelapa, pisang dan umbut kelapa sawit.
Itulah juga tanaman di kebunnya, kelapa dan pisang.
Suatu malam tahun lalu, ketika Salleh sedang bersiap untuk tidur pada pukul 8 malam, jirannya memberitahu gajah menyerbu kebunnya.
Sejam selepas Salleh membuat laporan, pasukan tindak balas Jabatan Hidupan Liar Kuala Tahan tiba.
Berbekalkan pengetahuan tingkah laku gajah, mereka melepaskan tembakan amaran ke udara, menyalakan mercun dan membakar tayar.
Semua tindakan itu bertujuan menghalau gajah dengan bunyi bising dan bau yang kuat.
Salleh hanya mampu mengangkat bahu: “Gajah tak tahu dia besar, dia tak tahu dia kuat. Dia berjalan tak tentu arah dan ranap semua pokok pisang saya.”
Ketika ditanya apa yang difikirkan ketika gajah masuk ke kebunnya, Salleh menjawab:
“Saya sangat marah. Jika saya ada senapang, saya akan tembak.”
“Adakah awak fikir ada penyelesaian lebih baik untuk masalah gajah liar ini?”
“Gajah juga membiak, seperti manusia, jadi jumlahnya akan terus meningkat. Makanan di hutan makin kurang, jadi mereka terpaksa cari makan di tanah kita dan masalah ini boleh jadi tak terkawal tak lama lagi.”
“Saya rasa kita hanya perlu hapuskan mereka. Sebutir peluru untuk setiap gajah,” tambah Salleh.
Penduduk seperti Salleh menganggap gajah liar sebagai “perosak besar” yang memusnahkan hasil pertanian mereka.
Semua kerja keras mereka mengusahakan tanah menjadi sia-sia dan kemarahan Salleh terhadap gajah-gajah ini dapat difahami.
Malah, keinginan untuk menghapuskan semua gajah ini merupakan sentimen biasa di kalangan petani.
Johor dan Sabah menyaksikan konflik paling sengit antara manusia dan gajah.
Kisah-kisah petani di dua negeri ini mengambil tindakan sendiri, sama ada dengan meracun atau menembak mati gajah liar sering menjadi paparan berita tempatan.
Siapa punca sebenar?
Laporan NECAP menganggarkan konflik manusia-gajah menyebabkan kerugian sebanyak RM42.5 juta di Semenanjung Malaysia antara 2015 hingga 2021, dengan Pahang sahaja menanggung kerugian RM10.52 juta.
Pada tempoh sama, 116 kematian gajah direkodkan, dengan 43 peratus akibat pemburuan haram dan keracunan.
Peribahasa Melayu "bangkai gajah bolehkah ditutup dengan nyiru" bermaksud suatu kejahatan atau perkara besar yang tidak dapat disorok.
Namun, dalam menyorot realiti konflik manusia-gajah, siapakah sebenarnya punca utama? Adakah manusia atau gajah?
Atau ada 'raksasa lain' yang tanpa kita sedar memacu konflik ini dengan berselindung di sebalik bayang-bayang manusia dan gajah?
Laporan ini dihasilkan dengan kerjasama Jaringan Penyiasatan Hutan Hujan (Rainforest Investigations Network), Pulitzer Center. Terjemahan ke dalam bahasa Melayu oleh Rahmat Haron.