mk-logo
Berita
China seru permulaan baru hubungan dengan AS bawah Trump
Diterbitkan:  Jan 22, 2025 8:28 AM
Dikemaskini: 12:28 AM

GLOBAL | China menyeru "titik permulaan baru" dalam hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) di bawah Presiden Donald Trump yang baru dilantik, lapor Agensi Anadolu memetik media rasmi.

"Beijing bersedia untuk bekerjasama dengan pentadbiran baru AS... selaras dengan prinsip saling menghormati, hidup bersama secara aman dan kerjasama menang-menang, mengekalkan komunikasi, memperkukuh kerjasama, mengurus perbezaan dengan betul dan memacu kemajuan lebih besar dalam hubungan China-AS daripada titik permulaan baru," kata jurucakap Kementerian Luar China Guo Jiakun, kepada pemberita di Beijing.

Guo menjawab soalan mengenai sama ada Beijing akan menjemput Trump untuk melawat China.

Donald Trump kembali ke Rumah Putih pada Isnin untuk penggal kedua beliau yang tidak berturutan.

Hubungan antara dua ekonomi terbesar dunia itu merosot semasa penggal pertama Trump yang menyaksikan perang perdagangan.

Namun, menjelang pelantikannya, Trump berbangga hubungannya dengan Presiden China Xi Jinping, menyifatkan beliau sebagai "lelaki hebat" dan menyatakan bahawa China dan AS boleh bersama-sama menyelesaikan "semua masalah dunia."

Guo berkata intipati kerjasama ekonomi dan perdagangan China-AS "adalah manfaat bersama dan hasil menang-menang," menurut Anadolu.

"Mengekalkan pembangunan ekonomi yang stabil dan hubungan perdagangan China-AS sejajar dengan kepentingan asas kedua-dua negara dan rakyat mereka, serta memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi global," katanya sambil menambah bahawa Beijing "bersedia untuk mengukuhkan dialog."

Terdahulu, beliau menyatakan bahawa Beijing "prihatin" dengan tindakan AS untuk keluar daripada Perjanjian Iklim Paris.

Tidak lama selepas pelantikannya pada Isnin, Trump menandatangani perintah eksekutif untuk menarik keluar AS daripada Perjanjian Iklim Paris.

Beliau turut menandatangani perintah eksekutif untuk menarik AS keluar daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"WHO telah memainkan peranan penting dan penyelaras dalam tadbir urus kesihatan global... China, akan seperti biasa, menyokong [WHO] dalam melaksanakan tugasnya, memperkukuh kerjasama kesihatan awam antarabangsa, mengukuhkan tadbir urus kesihatan global dan menggalakkan pembinaan komuniti kesihatan manusia," kata Guo.

- Bernama-Anadolu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS