Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Warisan kecam Adun GRS gagal baiki jalan
Diterbitkan:  Jan 22, 2025 8:15 AM
Dikemaskini: 12:15 AM

Pemuda Warisan menyatakan rasa kesal terhadap seorang Adun Gagasan Rakyat Sabah (GRS) kerana gagal menangani isu kerosakan jalan utama dari Kudat ke Kota Kinabalu.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pemuda Warisan, Terence Au, berkata Adun berkenaan, Ben Chong Chen Bin, merupakan pemimpin kerajaan yang memiliki sumber untuk memperbaiki jalan berkenaan.

"Sebagai seorang Adun kerajaan, kuasa dan akses kepada pihak berkuasa adalah lebih luas.

"Oleh itu, amat mengecewakan apabila usaha hanya terbatas kepada mengeluarkan kenyataan tanpa tindakan tegas di lapangan," kata Au.

Chong pada Isnin lalu berkata jalan tersebut berada di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan, yang telah melantik sebuah syarikat konsesi untuk menyelenggara dan membaikinya.

Dalam satu kenyataan, dia memaklumkan arahan telah diberikan kepada syarikat tersebut untuk memberi keutamaan kepada kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan jalan berkenaan.

Bagaimanapun, kerja-kerja tersebut tertangguh disebabkan oleh keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan lebat baru-baru ini.

Dia juga berkata pihaknya telah mencadangkan kepada kerajaan supaya menamatkan kontrak mana-mana syarikat yang gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.

Chong turut menambah dia akan menghantar surat rasmi kepada Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, bagi mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu itu.

Sebagai respons, Au mempersoalkan mengapa Chong menghantar surat kepada menteri sedangkan jalan tersebut sedang ditampal.

Dia mendesak Chong supaya memberikan tempoh masa yang jelas bagi pembaikan jalan berkenaan.

"Kerosakan jalan utama ini bukan sahaja menyusahkan pengguna, malah turut mengancam keselamatan mereka.

"Lubang dan kerosakan jalan boleh menyebabkan kemalangan serius serta merosakkan kenderaan," kata Au.

Selain itu, dia turut menyindir Chong dengan merujuk kepada tindakannya melompat parti untuk menyertai GRS.

"Apabila lompat parti berlaku untuk bersama kerajaan (GRS), ia seharusnya digunakan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat, bukan sekadar bersuara tetapi gagal melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan," kata Au.

Chong meninggalkan Warisan pada Februari tahun lalu untuk menyertai GRS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS