Seorang peguam berpendapat Polis Diraja Malaysia tersilap apabila bertegas berpendapat penganjur perhimpunan antirasuah pada Sabtu ini perlu mendapatkan kebenaran sebelum berkumpul di Dataran Merdeka.
Menurut Rajesh Nagarajan, Dataran Merdeka adalah kawasan awam dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak memiliki mahupun mendudukinya.
Justeru, kata Rajesh, PDRM sepatutnya memudahkan perarakan secara aman itu dan bukannya cuba menghalang himpunan tersebut.
“Kenyataan polis yang mengatakan bahawa kebenaran pemilik tempat atau penghuninya diperlukan sebelum himpunan itu dibuat adalah salah sama sekali.
“Seseorang tidak perlu mendapatkan kebenaran untuk berkumpul di Dataran Merdeka kerana ia adalah tempat awam dan milik semua rakyat Malaysia.
“DBKL bukan pemilik mahupun penghuni Dataran Merdeka. Justeru, isu mendapatkan persetujuan daripada DBKL di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman tidak timbul sama sekali.
“Polis sepatutnya memudahkan perhimpunan aman itu dan bukannya cuba menghalang hak perlembagaan rakyat daripada dilaksanakan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan antirasuah di tengah Kuala Lumpur yang dirancang diadakan pada 25 Jan ini.
Dia mengakui polis menerima notis penganjur perhimpunan berkenaan namun menganggap ia tidak lengkap kerana tidak mendapat persetujuan pemilik atau penghuni tempat yang bakal menjadi peserta himpunan berkumpul.
“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Pagi tadi Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan keputusan polis dan menegaskan semua kawasan termasuk ruang awam tetap mempunyai pemilik.
“Adakah Dataran Merdeka mempunyai pemilik? Ya, memang ada. Jadi, minta kebenaran DBKL dahulu.
“Jika di luar Sogo, dapatkan kelulusan daripada pemilik Sogo. Itu yang disyaratkan oleh undang-undang,” katanya.