Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Op Sky: SPRM bekukan RM22 juta dari 98 akaun bank

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan hampir 100 akaun kesan siasatan mereka terhadap kegiatan sindiket pinjaman yang menyasarkan kakitangan awam sebagai mangsa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata daripada 98 akaun itu sebanyak RM22 juta dana sudah dibekukan membabitkan lima atau enam bank terkenal.

"Buat masa ini saya tidak akan dedahkan nama bank terbabit.

"Jumlah pinjaman yang terlibat ialah RM700 juta, tapi SPRM tak boleh nyatakan itu satu bentuk kerugian," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Lebih penting, tambah Azam, dalam kegiatan penipuan berkenaan pihak yang meluluskan permohonan pinjaman tersebut menerima komisyen antara 0.5 peratus hingga 1 peratus.

Justeru, katanya, isu yang lebih besar pada SPRM ketika ini bukanlah berapa banyak jumlah yang yang dianggap 'hilang' sebaliknya berapa banyak wang yang diterima oleh pihak terbabit.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, memberitahu media lebih 20 individu telah ditahan termasuk dalam kalangan pegawai kanan institusi kewangan.

"SPRM memandang serius isu pinjaman dan juga isu-isu melibatkan penyelewengan oleh syarikat-syarikat swasta, yang kononnya bertindak sebagai konsultan.

"SPRM bekerjasama dengan BNM (Bank Negara Malaysia) dan beberapa bank yang terlibat. Mereka bekerjasama sepenuhnya menyalurkan maklumat sindiket pinjaman kewangan.

"Setakat ini seramai 21 individu, ini termasuk lapan pengarah syarikat, 12 pegawai bank dan seorang individu awam yang bertindak sebagai ejen telah ditahan," katanya.

Sebelum ini, SPRM membongkar sindiket pinjaman membabitkan golongan pengurus kewangan profesional yang dipercayai bertanggungjawab meluluskan pinjaman dengan nilai keseluruhan RM700 juta.

Ia disiasat oleh SPRM kerana dipercayai mempunyai unsur rasuah serta pengubahan wang haram.

Dalam satu perkembangan lain, Azam berkata bahawa Jabatan Peguam Negara bersetuju untuk menuduh seorang bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) terkait projek pembekalan baja bernilai RM1.8 bilion.

Katanya, kertas siasatan yang dibuat melalui Op Ladang itu sudah dilengkapkan pada 13 Dis lalu dan SPRM mencadangkan dua pertuduhan dikenakan ke atas individu berkenaan.

"Timbalan pendakwa raya sudah bersetuju untuk menuduh individu tersebut," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS