BICARA 1MDB l Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi di Putrajaya hari ini mendakwa bekas Perdana Menteri itu tidak memberikan sebarang jawatan formal kepada ahli perniagaan dalam buruan Jho Low dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana Najib menggunakannya sebagai orang tengah untuk menerima wang daripada syarikat itu.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata Najib juga dilihat seolah-olah cuba melindungi Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho kerana sejak 2009 hingga 2016, banyak amaran telah diberikan kepada Najib mengenai watak dan perbuatan lelaki itu, namun tiada sebarang tindakan diambil terhadapnya.
"Antara red flag (amaran) yang jelas ialah Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 2009 menggambarkan Jho Low sebagai unsavoury character, Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh yang menghantar mesej kepada Datuk Seri bagi menyatakan salah laku di dalam syarikat itu dan amaran daripada Pengerusi Kumpulan The Edge Media Tan Sri Tong Kooi Ong yang memaklumkan secara peribadi kepada Datuk Seri bahawa Jho Low telah menyeleweng dana 1MDB.
"Banyak lagi red flag yang saya boleh sebutkan berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan mengenai salah laku Jho Low, sungguhpun begitu Datuk Seri tetap memilih untuk melindungi Jho Low dengan menidakkan peranan dia dalam 1MDB," kata Ahmad Akram ketika menyoal balas Najib.
Bagaimanapun, Najib yang sedang memberi keterangan sebagai saksi pembelaan pertama berkaitan tuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1MDB menafikan kesemua dakwaan itu dan berkata beliau tidak melindungi Jho Low, sebaliknya hanya menggunakan lelaki itu untuk hubungan yang baik dengan negara Timur Tengah.
Kepada cadangan Ahmad Akram bahawa pemberian jawatan kepada Jho Low dalam 1MDB akan menguntungkan syarikat itu, Najib tidak bersetuju dan menjelaskan akan wujudnya konflik kerana Jho Low mewakili negara Timur Tengah.
Najib juga tidak bersetuju dengan cadangan Ahmad Akram bahawa Jho Low tidak diberikan sebarang jawatan dalam 1MDB kerana sekiranya pihak berkuasa mempersoalkan aliran wang dalam syarikat itu, Najib dengan mudah boleh meletakkan kesemua kesalahan terhadap Jho Low.
Ahmad Akram: Saya katakan kepada anda, Jho Low sememangnya cerminan diri anda, Datuk Seri.
Najib: Tidak mungkin begitu, tidak mungkin.
Ahmad Akram: Saya juga katakan Datuk Seri telah guna jawatan Datuk Seri untuk menerima suapan dan setiap keputusan yang Datuk Seri ambil adalah bagi faedah peribadi, bukan kerajaan.
Najib: Saya tak setuju.
Ahmad Akram berkata Najib juga dilihat seperti melindungi Jho Low apabila beliau mengelak dan hanya memberikan jawapan pendek kepada soalan dikemukakan bekas Ahli Parlimen Wangsa Maju Dr Tan Kee Kwong berkenaan urusan Jho Low dan 1MDB dalam satu sesi soal jawab lisan di Parlimen pada 12 Mac 2015, bagaimanapun Najib menafikan dakwaan itu dan menegaskan beliau tidak pernah menghalang siasatan 1MDB.
Sementara itu, Ahmad Akram turut mempersoalkan pembelaan Najib yang secara amnya menyatakan beliau ialah mangsa penganiayaan dan pendakwaan politik, namun Najib tidak dapat memberikan sebarang bukti bagi menyokong dakwaannya.
Najib menafikan cadangan itu dan berkata semasa siasatan, banyak dokumen yang tidak dirujuk kepadanya dan pendakwaan terhadapnya dilakukan secara tergesa-gesa.
Ahmad Akram: Datuk Seri hadir dari hari pertama perbicaraan hingga hari terakhir pada Julai 2024. Setuju dengan saya sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan telah bentang kes melalui keterangan saksi dan dokumen untuk menyokong kes kami.
Najib: Ya, tetapi saya tak dapat peluang untuk beri penjelasan semasa siasatan. Asas saya membuat kenyataan mengenai penganiayaan dan pendakwaan politik kerana faktor-faktor tertentu yang saya dah terangkan dalam pernyataan saksi saya. Saya tak nak terangkan semula Yang Arif, ia memenatkan.
Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib untuk membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadapnya.
Najib, 71, berdepan 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Perbicaraan bersambung esok.
- Bernama