Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM: Harta Mokhzani hampir RM1 bilion, Mirzan RM246 juta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan dua anak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad telah mengisytiharkan harta mereka kepada agensi tersebut.

Ketua Pengarah SPRM, Azam Baki berkata nilai harta yang diisytiharkan Mokhzani Mahathir dan Mirzan Mahathir adalah berjumlah lebih RM1 bilion.

"Kedua-dua anak Dr M telah mengisytiharkan harta kepada saya secara peribadi, kerana saya yang keluarkan notis atau pun waran untuk isytihar harta.

"Saya nak memberi maklumat serba sedikit, jumlah aset Mokhzani keseluruhan lebih kurang RM1 bilion yang diisytihar. Nilai peribadi adalah dalam RM360 juta. Yang lain itu ada bentuk aset, pegangan saham, kita ambil maklum tolak liabiliti yang mereka tanggung.

"Harta yang diisytihar, Mirzan secara keseluruhan RM246.2 juta dan nilai peribadinya adalah RM120 juta. Selebihnya adalah berkaitan saham dan aset setelah mengambil liabiliti yang mereka tanggung," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Katanya, SPRM masih meneruskan siasatan dan sedang membuat analisis mengenai harta yang diisytiharkan kedua-dua mereka.

Pada 18 Jan tahun lepas, Mirzan dan Mokhzani telah diserahkan notis di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009, yang menghendaki mereka mengisytiharkan semua aset milik mereka.

Pada bulan berikutnya, mereka mengeluarkan kenyataan media bagi memohon semua pihak agar bersabar dan memhami situasi mereka bagi mengumpulkan maklumat berkenaan aset yang dimiliki selama 43 tahun.

Pada 24 Mei lalu, Mirzan dan Mokhzani dilaporkan memohon kepada SPRM untuk melanjutkan tarikh akhir untuk kedua-dua mereka mengisytiharkan harta masing-masing selepas diberikan lanjutan sebelum ini.

Turut dilaporkan bahawa Mokhzani disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sementara itu, Azam juga mengesahkan bahawa SPRM sedang mengenal pasti harta yang dimiliki keluarga allahyaryam Daim Zainuddin dan keluarganya di luar negara.

"Berhubung siasatan (membabitkan) allahyarham Daim, isteri Naimah Khalid, ahli keluarga dan juga proksi-proksi, kita masih menjalankan siasatan terhadap harta-harta yang diisytiharkan kepada kita. Kita kena pastikan berapa jumlah seperti mana dakwaan yang kita terima.

"Kami juga masih lagi membuat penyiasatan dan pengesanan aset-aset mereka yang mana kalau berkaitan dengan ahli keluarga," jelasnya.

Katanya, SPRM bekerjasama dengan beberapa pihak luar negara yang menunjukkan ada aset-aset di luar negara yang perlu disiasat.

"Sekiranya ada kesalahan, kita akan membuat permohonan untuk mendapatkan kembali wang berkenaan.

"Ini termasuk proksi-proksi yang mereka guna ada indikator menunjukkan wang-wang diletakkan di luar negara yang tertentu. Siasatan masih dijalankan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS