Paling Popular
Terkini

Bekas Perdana Menteri Najib Razak dalam keterangannya kepada Mahkamah Tinggi di Putrajaya berkata dia percaya 1MDB telah memberi manfaat kepada Malaysia.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata demikian bagi menjawab hujah pihak pendakwaan bahawa dana kekayaan berdaulat Malaysia yang bermasalah itu menyebabkan negara menanggung hutang yang tinggi.

Semasa sesi soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, Najib bersetuju bahawa 1MDB mengalami hutang yang tinggi sejak tahun 2015.

Bekas pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB itu menjelaskan bahawa presidennya ketika itu, Arul Kanda Kandasamy, merangka pelan rasionalisasi untuk mengurangkan hutang RM48 bilion yang ditanggung 1MDB.

Kamal: 1MDB tidak memberi sebarang kelebihan kepada negara.

Najib: Ia ada banyak aset, dan 1MDB telah menyumbang kepada negara walaupun ada perkara tertentu yang berlaku.

Apabila Kamal merujuk kepada surat daripada Bank Negara Malaysia pada tahun 2014 kepada Kementerian Kewangan yang memberi amaran bahawa keadaan kewangan 1MDB yang semakin merosot boleh menjejaskan kerajaan, Najib bersetuju dengan kebimbangan bank pusat itu.

Kamal: Saya katakan bahawa 1MDB tidak membawa manfaat kepada negara.

Najib: Saya tidak bersetuju, ada manfaatnya.

Kamal: Surat ini daripada (Gabenor Bank Negara ketika itu) Zeti (Akhtar Aziz), adakah anda menerimanya?

Najib: Ya.

Kamal: Berdasarkan ini, ia menunjukkan 1MDB tidak membawa manfaat kepada Malaysia.

Najib: Saya tidak bersetuju, saya akan jelaskan kemudian.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan pada Oktober tahun lalu, kerajaan persekutuan menyalurkan geran berjumlah RM39.74 bilion kepada 1MDB dari tahun 2019 hingga 2023.

Laporan mengenai penyata kewangan kerajaan bagi tahun 2023 menyatakan bahawa geran itu bertujuan untuk pembayaran balik prinsipal dan perbelanjaan lain, termasuk faedah bon dan bayaran kupon.

"Selain pembayaran balik, kerajaan persekutuan perlu menyediakan peruntukan berjumlah RM9.46 bilion.

"Ia merangkumi jumlah RM5 bilion untuk prinsipal Sukuk Islamic Medium Term Notes (IMTN) yang akan matang pada 27 Mei 2039, dan RM4.46 bilion untuk bayaran kupon IMTN bagi tempoh dari tahun 2024 hingga 2039 (15 tahun enam bulan)," menurut laporan itu.

Laporan tersebut turut menyatakan bahawa kerajaan persekutuan perlu membayar kupon IMTN sebanyak RM287.5 juta setiap tahun.

Laporan itu juga mengesyorkan agar kerajaan mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd daripada pihak domestik dan luar negara.

Diarah membela diri

Pada 30 Oktober, mahkamah mengarahkan Najib membela diri atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan dana berjumlah RM2.27 bilion daripada dana 1MDB.

Hakim perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah, memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib berhubung syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) itu.

Hakim itu memutuskan bahawa Najib perlu menjawab pertuduhan berdasarkan kekuatan keterangan daripada 50 saksi semasa peringkat pendakwaan, yang berlangsung selama enam tahun sejak perbicaraan bermula pada tahun 2019. Najib pertama kali didakwa pada tahun 2018.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu mula memberi keterangan sejak 2 Disember tahun lalu dan telah menghabiskan 21 hari memberikan keterangan secara lisan.

Najib disoal balas oleh pihak pendakwaan selama 10 hari, dengan sesi soal balas itu selesai pada tengah hari tadi.

Pasukan pembelaan Najib yang diketuai oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah dijangka memulakan sesi pemeriksaan balas ke atas tertuduh esok.

Pasukan peguam sebelum ini juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka menjangkakan akan memanggil 20 saksi lain untuk memberi keterangan bagi pihak Najib.

Tidak berdendam terhadap pasukan pendakwaan

Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Najib menyatakan bahawa dia tidak berdendam terhadap pasukan pendakwaan.

Bekas perdana menteri itu menjelaskan bahawa ini kerana keseluruhan kes terhadapnya didorong oleh pendakwaan politik.

*"Apa yang saya maksudkan ialah pertuduhan terhadap saya, atas sebab yang telah saya nyatakan, berasaskan kepada pendakwaan dan penganiayaan politik.

"Pasukan anda hanya mengikut pertuduhan yang cacat, anda hanya menjalankan tugas berdasarkan pertuduhan yang cacat.

"Tiada apa-apa (terhadap Akram dan anggota pasukan pendakwaan yang lain) atas dasar peribadi. Anda hanya menjalankan pendakwaan terhadap pertuduhan yang bermotifkan politik," kata Najib kepada Akram.

Najib juga tidak bersetuju dengan dakwaan Akram bahawa bekas perdana menteri itu tidak mempunyai bukti bahawa Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berkonspirasi dengan pihak pendakwaan untuk mendakwanya di mahkamah.

Sebelum ini, Najib memberi keterangan bahawa dia percaya DOJ telah berkonspirasi dengan pembangkang Malaysia pada tahun 2016 untuk menggulingkan tentadbirannya.

Sepanjang perbicaraan, Najib menegaskan dia tidak tahu atau terlibat dalam salah laku dalam 1MDB, dan semua penyelewengan dalam syarikat itu didalangi oleh ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low) dan pengurusannya.

Tertuduh juga menegaskan berbilion ringgit yang masuk ke akaun banknya adalah derma daripada Raja Arab Saudi berikutan pertemuannya dengan Raja Abdullah pada 2010.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS