Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia untuk bacaan kedua pada sesi parlimen akan datang, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
"Insya-Allah pada sidang parlimen akan datang dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kita akan melakukan bacaan kedua bagi Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia.
"Saya harap akan dapat meletakkan dan memartabatkan media dalam negara kita, selain menjadikan sektor media sebagai industri bukan hanya mampan tetapi mampu mengusahakan kawalan kendiri tentang beberapa perkara,” katanya seperti dipetik Bernama hari ini.
Fahmi berkata demikian kepada wartawan selepas bersarapan bersama ahli Kelab Media Kelantan.
Jelasnya penting untuk memastikan kebebasan media serta etika dan profesionalisme kewartawanan sentiasa diutamakan.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching membentangkan rang undang-undang tersebut untuk bacaan pertama pada 12 Disember tahun lalu.
Rang undang-undang ini bertujuan menubuhkan sebuah badan pengawalan kendiri untuk melindungi kepentingan media dan pengamal media.
Antara lain, Klausa 15 rang undang-undang ini menyediakan mekanisme pengawalan berkaitan aduan ketidakpuasan hati, yang akan diterima pakai dan dilaksanakan oleh majlis seperti yang ditentukan semasa mesyuarat agung.
Walaupun dipuji, beberapa kumpulan menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa peruntukan lain, terutama kehadiran dua wakil kerajaan yang dilantik oleh menteri dalam majlis media, yang dikhuatiri boleh menjejaskan kebebasan majlis tersebut.
Sementara itu, Fahmi memberi jaminan kementeriannya akan terus mengutamakan kebajikan dan keperluan pengamal media, termasuk menyalurkan sumbangan dan bantuan yang diperlukan kepada mereka yang menghadapi kesulitan hidup.
Bantu wartawan sambilan
Ini termasuk memastikan semua wartawan sambilan atau stringer turut menikmati manfaat skim perlindungan sosial Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri melalui Bernama.
“InsyaAllah, kita akan bantu apa yang patut,” tambahnya.
Pada 15 Ogos tahun lalu, Bernama dan Perkeso menandatangani memorandum persefahaman untuk memperluaskan perlindungan kepada pengamal media sambilan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.
Perjanjian itu inisiatif kerajaan untuk meningkatkan perlindungan keselamatan sosial, terutama bagi pengamal media yang berdepan pelbagai cabaran dalam menjalankan tugas mereka.