Jajaran Seksyen 2 Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) akan dibuka kepada umum bermula tengah malam ini dan bakal melengkapkan Pelabuhan Klang sebagai hab logistik terbesar di Asia Tenggara.
Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata jajaran sejauh 7.2km itu menghubungkan persimpangan bertingkat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan persimpangan bertingkat Lebuh Raya Shah Alam (SAE), sekali gus memudahkan lagi akses ke Pelabuhan Klang.
"Pembukaan jajaran ini juga dijangka membantu mengurangkan kos operasi sektor logistik, mempermudah penghantaran barangan, seterusnya meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Ini secara langsung menarik pelaburan ke kawasan industri dan pelabuhan selain mewujudkan peluang pekerjaan dan menjadi pemangkin ekonomi," katanya selepas merasmikan pembukaan laluan berkenaan di Klang hari ini.
Nanta turut mengumumkan pelaksanaan tol percuma bagi jajaran itu selama sebulan bermula 12.01 tengah malam ini.
"Tol percuma ini adalah bagi pengguna yang memasuki WCE dari Plaza Tol SAE ke Persimpangan Bertingkat SKVE (WCE) dan sebaliknya, di kedua-dua arah," katanya.
Nanta berkata jajaran itu merupakan kesinambungan kepada jajaran seksyen 1 yang dibuka 31 Ogos lalu dan memendekkan tempoh masa perjalanan dari Shah Alam ke Banting dari sejam kepada 25 minit.
Dia berkata pembukaan jajaran itu menyaksikan hanya tinggal tiga lagi seksyen yang belum dibuka daripada keseluruhan 11 jajaran sejauh 45km yang dirancang kerajaan.
"Tiga yang belum dibuka adalah di negeri ini dengan Seksyen 3 WCE dijangka dibuka tahun depan," katanya.
- Bernama