Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KDN sokong KSN arah kakitangan kaunter tukar tugas lepas 5 tahun

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyokong arahan melaksanakan dasar penggiliran kerja bagi penjawat awam yang ditempatkan di kaunter perkhidmatan selama lebih lima tahun.

Saifuddin menyifatkan arahan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Shamsul Azri Abu Bakar itu langkah proaktif menangani isu integriti.

"Tujuan utama pelaksanaan sudah semestinya untuk mempercepat atau memperbaiki sistem penyampaian, selain menangani isu integriti dan juga mampu untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap mutu perkhidmatan awam.

“Penggiliran kerja ini adalah sebahagian daripada sistem yang diamalkan untuk menunjukkan iklim kerja yang lebih kondusif bagi penjawat awam.

"Sekiranya mereka (penjawat awam) bertugas lima hingga tujuh tahun di tempat yang sama, sudah tentu iklim kerja itu menjadi tidak kondusif kalau mereka terus dikekalkan di situ,” katanya pada sidang media selepas melawat gerai pameran di Sidang Kemuncak dan Pameran Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25) di Putrajaya hari ini.

Semalam, media tempatan melaporkan Shamsul mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengkaji dan melaksanakan sistem pertukaran kerja, dengan menyatakan tempoh lima tahun di kaunter perkhidmatan dianggap terlalu lama.

Jelas Shamsul, langkah penggiliran tersebut boleh dilaksanakan dalam tempoh satu atau dua bulan akan datang untuk meluaskan pengalaman mereka dan mengurangkan tekanan akibat tumpuan yang berpanjangan kepada satu peranan.

Katanya, pusingan kerja itu juga bertujuan menambah baik perkhidmatan di kaunter.

“Lebih lima tahun (berkhidmat di kaunter) kadang-kadang boleh menyebabkan anda (penjawat awam) sangat tertekan, jadi kita kena beri tugasan yang baharu untuk perubahan dalam kerjaya.

“Kadang-kadang kita tengok petugas kaunter marah-marah orang kerana terlalu lama mereka berkhidmat di sana, dia pun kecewa juga, jadi kita hendak ubah situasi itu,” kata KSN.

Menyambut baik inisiatif itu, Saifuddin menjelaskan ia selaras dengan matlamat kementerian untuk mengutamakan kepentingan rakyat.

Katanya arahan Shamsul itu sangat relevan untuk KDN dengan agensi yang terlibat dalam perkhidmatan kaunter, seperti Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran..

“Ya, banyak sistem di kaunter perkhidmatan secara langsung berkaitan dengan orang awam, jadi reaksi saya adalah saya menyambut baik inisiatif ini sepenuhnya,” katanya.

Saifuddin turut menegaskan bahawa langkah ini mencerminkan komitmen kementerian untuk meletakkan rakyat sebagai keutamaan.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS