Kerajaan digesa untuk memberi tanggungjawab urusan padi dan beras padi kepada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol), kata ketua petugas khas pemantauan kluster makanan badan itu Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menurut Syed Abu Hussin gagal dalam usaha menyelesaikan ketiadaan beras tempatan.
"Saya amat kecewa dengan ketiadaan beras tempatan dan masih tidak dapat diselesaikan dalam masa dua tahun. Rakyat masih tertanya-tanya ke mana perginya beras tempatan. Tiada siapa boleh jawab, atau ada yang sengaja tak nak jawab.
"Saya selaku ketua petugas khas, telah minta menteri Mat Sabu di parlimen untuk berbincang isu beras. Saya telah minta empat kali. Masih tidak dapat bincang.
"Saya nak minta Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) meletakkan portfolio urusan padi, penambahan hasil padi dan urusan beras diletakkan di bawah Naccol," katanya dalam sidang media di Puchong, hari ini.
Terdahulu, Syed Abu Hussin yang juga yang juga ahli parlimen Bukit Gantang mengulas kenyataan menteri pertanian Mohamad Sabu yang berkata penjualan beras campuran sedang dikaji bagi mendepani kekangan pengilang khususnya Bumiputera yang tidak dapat menjual beras tempatan pada kadar RM26 bagi kampit 10kg.
Bagaimanapun, Syed Abu Hussin berkata penjualan beras campuran bukan satu perkara baru.
"Isunya, ketiadaan beras tempatan. Apa sebabnya?
“Sebab beras tempatan diletak harga siling iaitu RM26. Manakala, beras import tiada ada sebarang harga siling. Maka, terdapat pihak tidak bertanggungjawab menjual beras tempatan sebagai beras import dengan harga mahal.
"Namun, kementerian dan agensi kawal selia padi dan beras gagal mengambil tindakan terhadap kartel beras ini. Menteri selalu kata nak buat kajian. Kajian demi kajian untuk apa?
"Kita sudah ada penyelesaian. Kementerian dan agensi kawal selia padi hanya perlu melaksanakan penyelesaian," katanya.
Tambahnya, jika kerajaan bersetuju memberi peranan urusan padi dan beras kepada Naccol, dia bersedia mengambil tanggungjawab itu.
"Saya mengambil tanggungjawab untuk selesaikan isu ini. Bagi saya masa tiga bulan sahaja, Insha Allah saya boleh selesaikan.
"Saya akan buat cadangan tanpa ada gangguan. Kalau kementerian buat gangguan tak boleh, kawal selia padi ganggu, tak boleh.
"Sebab itu saya minta, seluruh isu beras dan padi dalam negara diletakkan di bawah Naccol, sementara sahaja. Bukan saya minta lama-lama," katanya.
Untuk rekod, Perdana Menteri Anwar Ibrahim merupakan pengerusi Naccol.