Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sekatan jualan arak: AMK Perak tuntut MCA tarik balik kenyataan
Diterbitkan:  Jan 21, 2025 1:02 PM
Dikemaskini: 5:02 AM

Pemuda PKR tampil membidas kenyataan Ketua Penerangan MCA Perak  Chung Kok Heung yang menyerang DAP dan PKR berhubung sekatan jualan arak di Ipoh dan menuntut kenyataan itu ditarik balik segera.

Ketua AMK Perak Zaim Sidqi Zulkifly berkata, kenyataan itu jelas tidak berasas dan bersifat sensasi semata-mata untuk meraih perhatian politik.

"Sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan, MCA seharusnya memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab, bukannya melemparkan tuduhan liar kepada rakan-rakan gabungan.

"Isu sekatan jualan arak ini bukanlah perkara baru, malah ia dilaksanakan berdasarkan sensitiviti masyarakat setempat. MCA seharusnya memahami bahawa kerajaan negeri sentiasa mengutamakan keharmonian kaum dan agama, terutama di kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

"Namun, serangan MCA terhadap DAP dan PKR ini hanya mencerminkan sikap mereka yang tidak konsisten dalam menyokong agenda perpaduan negara," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam MCA Perak mengecam pemimpin kerajaan Perak khususnya daripada DAP, susulan peluasan sekatan oleh Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI).

Chung mempersoalkan penjelasan pemimpin DAP dan PKR bahawa ia masih dalam pertimbangan, sedangkan perkara itu, katanya, disahkan oleh Datuk Bandar Rumaizi Baharin.

Beberapa hari lalu, Rumaizi berkata, MBI meluluskan dasar untuk membuat kajian terhadap tuntutan penduduk dari kawasan majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan.

Menurutnya, sekitar tahun 2020 dan 2021, larangan itu dilaksanakan di kawasan gugusan Manjoi susulan bantahan besar-besaran penduduk setempat.

Dia mendedahkan terdapat tuntutan sama di Ulu Chepor yang penduduknya 100 peratus penduduk Melayu-Islam dan mereka secara prinsipnya bersetuju.

Bagaimanapun, katanya, tuntutan masyarakat daripada Tambun, Rapat Setia dan Sungai Rokam masih dikaji.

Dalam kenyataan berbahasa Mandarin itu, Chung meminta orang ramai “waspada” dengan perkembangan itu dan mendesak supaya hak orang bukan Islam dilindungi.

Sementara itu Zaim Sidqi menyifatkan serangan tidak berasas seperti ini hanya untuk merosakkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan Kerajaan Perpaduan itu sendiri.

"AMK Perak menuntut MCA untuk segera menarik balik kenyataan tidak bertanggungjawab ini dan memberi tumpuan kepada isu-isu yang benar-benar penting untuk rakyat.

"Jangan jadikan isu sensitif sebagai alat untuk kepentingan diri," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS