Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Selepas Nga petik integriti Umar al-Khattab, Hadi sekolahkan DAP
Diterbitkan:  Jan 21, 2025 12:18 PM
Dikemaskini: 4:18 AM

Selepas Nga Kor Ming memetik sejarah pentadbiran Khalifah Umar Al-Khattab bagi mencerminkan akauntabiliti dan integriti, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dipercayai menyinggung tindakan menteri dari DAP itu dalam tulisan minda presiden bertajuk 'Apabila DAP campur urusan Islam', hari ini.

Walaupun tidak menulis dengan jelas, Abdul Hadi dilihat mengkritik pembacaan DAP mengenai Islam termasuk membaca sejarahnya, walaupun mengalu-alukan perkara itu.

Bagaimanapun katanya, pembacaan itu mestilah dilakukan secara jujur dan ikhlas, dengan niat ingin mencari kebenaran dan kebaikan sebaliknya bukannya mencari keburukan tanpa hujah yang benar dan mendalam.

"Hendaklah dibaca keseluruhan ajaran Islam yang tidak sama dengan makna perkataan agama atau religion dalam pelbagai bahasa selain bahasa al-Quran. Adapun perkataan Islam sebenarnya adalah daripada perkataan al-din dalam bahasa Arab (bahasa al-Quran).

"Kemudian, hendaklah dibaca sejarahnya pula. Bermula dari zaman Rasulullah SAW yang melahirkan para khalifah, raja yang adil dan para pemimpin yang berjaya dalam segala lapangan, sehingga melahirkan tamadun Islam yang berjasa kepada seluruh dunia.

"Semuanya mestilah dibaca secara keseluruhan daripada sumber ajaran Islam sebenar yang asal, daripada kitab sucinya (al-Quran) dan kenyataan rasul yang membawanya (Sunnah). Kalau bukan sumbernya yang sebenar, maka tidak lengkap dan tidak tepat dengan hakikatnya yang sebenar.

"Maklumatnya tidak sempurna dan salah, sehingga boleh berlaku salah faham terhadap Islam dan umatnya," katanya.

Minggu lalu Nga yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggalakkan rakyat Malaysia menegurnya jika dia melakukan kesilapan semasa menjalankan tugas.

Dalam ucapan tahun baru 2025 di kementeriannya, Nga menekankan kepentingan kejujuran dan keberanian dalam menangani kesalahan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya selepas itu, Nga memetik karya klasik Cina, sejarah Islam, dan cerita rakyat India untuk menekankan kepentingan integriti dan perpaduan.

“Menurut sejarah Islam, anak Khalifah Umar Al-Khattab menggunakan sumber awam untuk membeli unta dan kemudian menjualnya untuk mendapatkan keuntungan.

“Setelah mengetahui perkara ini, Umar memerintahkan anaknya mengembalikan semua keuntungan kepada perbendaharaan negara.

“Ini mencerminkan akauntabiliti dan integriti dalam mengurus aset awam,” katanya.

Abdul Hadi antara lain berkata, sejarah pelaksanaan Islam tidak boleh dipetik di tengah-tengah jalan sahaja secara sebahagian dan berpandukan satu zaman sahaja.

"Seperti hanya memetik zaman Khalifah Umar al-Khattab atau zaman Umar Abdul Aziz sahaja tanpa mengambil kira zaman Rasulullah SAW yang melahirkan para pemimpin selepasnya dan sepanjang zamannya.

"Kedudukan Islam di Malaysia adalah hak penganutnya. Demikian juga, beberapa hak istimewa Melayu dan Bumiputera berasaskan kedudukan sejarah dan demografi, serta agama Islam yang dianut oleh bangsa Melayu yang mendominasi penduduknya," jelasnya.

Tambah ahli Parlimen Marang itu, penjajah telah merosakkan ajaran Islam dengan pendekatan sekularisme yang lemah dan menyesatkan dengan memisahkan urusan dunia daripada agama.

Kemudian kata Abdul Hadi, ia diteruskan dalam perlembagaan yang digubal melalui pembentukan Majlis Agama Islam yang kuasanya terbatas, untuk membantu menjalankan kuasa-kuasa tertentu pada zaman penjajah dahulu bagi membuli dan merosakkan Islam serta umatnya.

Jelasnya lagi, analisis menunjukkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan itu bukan sahaja hanya terkandung dalam Perkara 3, tetapi ia juga harus dibaca bersama dengan Perkara 8, 11, 12, 121,150 dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong dalam hal ehwal agama Islam.

"Kesemua ini menunjukkan bahawa Islam dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia mempunyai keistimewaan yang berbeza daripada agama lain di Malaysia.

"Akan tetapi, ditafsirkan perkataan religion mengikut bahasa penjajah, bukan perkataan al-din dalam bahasa al-Quran.

“Inilah Islam yang diwarisi daripada penjajah yang silih berganti dan dirancang diteruskan selepas merdeka. Kalau inilah Islam yang dibaca oleh DAP, maka bacaannya salah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS